loading...

Jambatan Batang Samarahan Kini 93.4% Siap

KUCHING – Jambatan sepanjang kira-kira 774 meter bernilai sekitar RM93 juta yang menghubungkan daerah Kota Samarahan dengan Sadong Jaya kira-kira 45km dari sini, dijangka siap sepenuhnya pada bulan Mei dan dibuka kepada umum pada Jun ini, menjelang sambutan Hari Gawai.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata 93.4 peratus pembinaannya sudah disiapkan, dengan semua kerja-kerja kritikal serta penyambungan sudah dilaksanakan, manakala struktur-struktur besi boleh mula dibuka dalam tempoh seminggu lagi.

“Saya amat berpuas hati dengan perkembangan ini dan akan terus memantau supaya ia siap dalam jangka masa yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mengejut ke tapak pembinaan jambatan Batang Samarahan di sini, hari ini.

Katanya selepas ini, satu lagi projek terbesar iaitu jambatan di laluan pesisir laut yang merentasi Batang Lupar bernilai RM1 bilion sejauh 5km akan dimulakan, yang mana setakat ini para konsultan telahpun menyiapkan reka bentuknya, dan seterusnya adalah proses tender.

“Antara beberapa lagi projek jambatan yang akan menghubungkan kawasan persisir pantai yang sedang dirancang adalah jambatan Batang Rambungan di Lundu, Batang Saribas di Betong, Batang Krian di Saratok dan Batang Igan di Mukah,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...