loading...

PAS Harap Isu Tabung Haji Bukan Agenda Balas Dendam PH

KUALA LUMPUR: PAS menyatakan harapannya supaya pendedahan terhadap skandal dana Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak menjadi “satu lagi siri balas dendam” kerajaan terhadap BN.

Ketua Penerangan Pusat PAS Nasrudin Hassan berkata parti itu memang menyambut baik langkah memperbetulkan Tabung Haji sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah institusi penting untuk umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun kata Nasrudin semua dakwaan itu belum dibuktikan dan mesti disiasat, didakwa mengikut proses sewajarnya sebelum sesuatu hukuman dapat dibuat.

“Kami berharap pendedahan terhadap penyelewangan yang didakwa berlaku dalam Tabung Haji kini bukan sekadar satu lagi siri balas dendam kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan lama yang direka tanpa bukti yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tabung Haji pada 30 Nov lalu membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusinya yang juga Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim serta beberapa bekas pegawai kanan lain agensi itu.

Menurut kenyataan dikeluarkan laporan pertama dibuat berhubung program Yayasan Tabung Haji pada 2017 yang melibatkan dana lebih RM22 juta dan dipercayai digunakan untuk keperluan politik parti.

Laporan polis kedua pula berhubung tindakan pegawai kanan Tabung Haji yang didakwa menyembunyikan maklumat penting tentang penjualan saham pada 2012.

Isu mengenai pengurusan Tabung Haji diperkatakan sekurang-kurangnya sejak beberapa tahun lalu apabila bekas naib presiden PKR Rafizi Ramli membuat pendedahan pada 2016.

Malah dia didakwa di mahkamah kerana membuat kenyataan mengenai “tohmahan” ke atas Tabung Haji.

Semalam beberapa pemimpin Pemuda Umno tampil meminta supaya orang ramai tidak cepat menghukum sesiapa dalam isu berkenaan dan membiarkan proses siasatan berjalan seperti sepatutnya.

Previous
Next Post »
loading...