PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak boleh bertolak ansur dalam perjuangan mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera.
Pengerusi BERSATU itu berkata, parti boleh bertolak ansur dalam beberapa perkara termasuk mengenai tempoh terhad sebagai Perdana Menteri, namun tidak bagi perkara membabitkan hak orang Melayu dan Bumiputera.
“Kita parti Pribumi Melayu. Bukan saja nama, tetapi bentuk parti ini juga untuk orang Melayu, yang kita lihat ketika ini sudah kehilangan pelindung mereka.
“Sebab itu jangan dituduh bahawa kita sudah lupa tentang bangsa kita. Ya, kita akui hak orang lain. Kita bukan penyamun, penyangak merampas harta mereka, tetapi kita juga tidak suka melihat hak kita dirampas sesiapa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU kali kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Turut hadir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta barisan Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU. Perhimpunan yang bermula Jumaat lalu, dihadiri seramai 1,900 perwakilan dari seluruh negara.
Dr Mahathir menegaskan BERSATU kini menjadi parti bertanggungjawab untuk memperbetulkan sifat dan sikap orang Melayu.
Katanya, tugas memperbetulkan kepincangan Melayu menjadi tugas penting parti yang semakin berpecah ketika ini.
“Kita sedar kedudukan orang Melayu, kalau berpegang kepada kenyataan hari ini, jelas kita golongan termiskin di negara yang dahulu menjadi milik kita.
“Kita berjumlah 60 peratus tapi kita sendiri mengurangkan peratusan itu berpecah kepada tiga atau empat parti dan masing-masing menjadi minoriti sehingga bergantung kepada orang lain untuk menentukan kemenangan kita atau tidak.
“Itu kesalahan bukan parti UMNO atau PAS, tapi kesalahan Melayu kerana bila diberi kuasa untuk perbaiki mereka berebut kuasa dan melemahkan diri sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, tugas utama BERSATU adalah memperbetulkan kelemahan orang Melayu tetapi ia tidak perlu diwar-warkan, sebaliknya menerusi kaedah tersendiri.
“Kita perlu betulkan sifat yang ada pada orang Melayu dan ini tugas utama kita. Kita tahu apa kelemahan pada kita, tidak perlu laung-laung sangat. Tapi kita tahu dan tahu bagaimana kita akan atasi masalah ini. Ini tugas kita,” katanya.
Dr Mahathir turut menegaskan BERSATU bukan parti pengemis di dalam Pakatan Harapan (PH) walaupun hanya memenangi 13 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Sebaliknya, beliau berkata keputusan itu dipengaruhi beberapa faktor antaranya bertanding di kerusi ‘panas’, pengharaman parti itu pada saat-saat hampir PRU-14 diadakan dan akibat PH tidak dapat didaftarkan sebagai pertubuhan sah.
Katanya, masalah itu menyebabkan BERSATU terpaksa menggunakan simbol dan logo PKR untuk bertanding dalam PRU-14 yang mengakibatkan pengundi keliru untuk memilih calon BERSATU.
“Sebab itu kita hanya dapat skor begitu rendah bertanding 52 kerusi yang ditandingi. Kita menang 13 kerusi saja. Masa itu kita tidak tahu parti akan diharamkan. Kita juga tidak tahu PH tidak diterima pendaftarannya. Sebab itu kita terima 52 kerusi dan kawasan itu bukan mudah dimenangi.
“Tapi kita bukan parti pengemis dan takut walaupun kita tahu 52 kerusi yang diberi kepada kita sukar dimenangi. Kita tak mengemis minta kerusi yang ‘lembut dan sedap’.
“Kita terima apa saja apa yang diberi, namun penyertaan kita berkesan juga dan saya yakin penyertaan kita menentukan kemenangan PH,” katanya.