Kelahiran tidak semestinya berlaku seperti dijangka. Ada yang terjadi seawal minggu ke-28 kehamilan yang dikategorikan sebagai kelahiran pramatang. Mama papa tolong peka tanda-tanda bersalin walau pun tarikh jangkaan masih lagi jauh. Ia mungkin kelahiran pramatang!
Selalunya ibu pertama kali tidak tahu mengenai tanda-tanda kelahiran kerana tiada pengalaman. Apatah lagi kelahiran pramatang ini yang berlaku sebelum tarikh jangkaan bersalin. Tetapi kepekaan kepada tanda-tanda kelahiran pramatang amat penting untuk menyelamatkan nyawa ibu dan anak.
Menurut Dr Mohd Daud Yahaya, Doktor Kanan Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital PUSRAWI Sdn Bhd, kelahiran pramatang bermaksud kelahiran yang berlaku pada usia kandungan yang mencecah usia antara minggu 28 ke minggu 37. Ia kerap kali berlaku tanpa dijangka.
TAHAP-TAHAP KELAHIRAN PRAMATANG
Late preterm iaitu lahir antara minggu 34 ke sebelum minggu 37
Moderately preterm iaitu lahir antara minggu 31 ke minggu 34
Very preterm iaitu lahir sebelum mencecah usia 31 minggu
Extremely preterm iaitu lahir sebelum mencecah usia 28 minggu
Terdapat perbezaan di antara keguguran dan kelahiran pramatang. Keguguran berlaku di bawah usia 22 minggu manakala kelahiran pramatang pula lahir di bawah 37 minggu.
Setiap ibu hamil wajib tahu tentang tanda-tanda kelahiran pramatang sebagai persediaan menghadapi dan mengelakkan panik. Ia memang tidak boleh dijangka serta boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
3 BERLAKUNYA KELAHIRAN PRAMATANG
Kelahiran pramatang berlaku kepada kandungan yang berusia 28 minggu sebelum 37 minggu. Jika usia kandungan anda adalah dalam lingkungan usia ini dan mempunyai tanda-tanda yang dinyatakan, ambil langkah untuk segera mendapatkan bantuan kecemasan. Tindakan anda mendapatkan bantuan perubatan dengan secepat mungkin membantu menyelamatkan anda dan masa depan si kecil.
#1 Berlakunya pendarahan atau turun darah secara tiba-tiba (show).
#2 Rasa kekejangan atau cramp pada bahagian perut atau abdomen.
#3 Berlaku kontraksi secara berpanjangan.
IBU YANG BERISIKO TINGGI MENGHADAPI KELAHIRAN PRAMATANG
- Ibu mempunyai sejarah kelahiran pramatang sebelum ini.
- Kehamilan bayi kembar.
- Jarak kehamilan kurang dari enam bulan dengan kehamilan sebelum ini.
- Kehamilan hasil daripada teknik in vitro fertilization (IVF).
- Ibu yang mempunyai masalah pada uterus, pangkal rahim atau plasenta previa.
- Ibu yang merokok atau mengambil dadah.
- Ibu yang mengalami kekurangan nutrien semasa hamil.
- Ibu yang tidak naik berat badan pada tahap sepatutnya semasa hamil .
- Jangkitan kuman pada air ketuban dan vagina.
- Ibu yang mengalami darah tinggi dan kencing manis yang kronik.
- Berat badan kurang atau melebihi paras normal sebelum hamil.
- Mengalami tekanan perasaan atau stres.
- Ibu pernah keguguran sebelum ini.
- Mengalami kecederaan atau trauma.
- Air ketuban yang banyak.
- Ibu yang mempunyai masalah fibroid.
SEGERA KE HOSPITAL BILA ADA TANDA-TANDA
Selepas mendapati terdapat tanda-tanda kemungkinan berlakunya kelahiran pramatang ini, ibu perlulah serta-merta ke hospital. Prosedur yang akan dilakukan kepada ibu yang bakal melahirkan kandungan pramatang semasa di hospital akan ditentukan bergantung kepada penyebab kelahiran pramatang. Ibu terbabit (pesakit) akan dimasukkan ke wad dan doktor akan melakukan pemeriksaan dan menilai keadaan pesakit dan janin.
JIKA TERLALU AWAL, DOKTOR AKAN CUBA RAWAT & TANGGUH KELAHIRAN
Doktor akan cuba merawat penyebab dan tanda kelahiran pramatang tersebut sebelum membuat keputusan untuk mengeluarkan bayi. Seboleh-bolehnya doktor akan cuba menangguhkan kelahiran dengan menjalankan non active procedure.
Menurut Dr Mohd Daud, cara bersalin normal atau pembedahan caeseraen bergantung kepada keadaan ibu dan bayi. Majoriti kes kelahiran pramatang, pihak perubatan akan cuba agar si ibu dapat melahirkan secara normal. Hanya segelintir yang memerlukan pembedahan caesarean.
PEMERIKSAAN ANTENATAL MESTI MENGIKUT JADUAL
Penting untuk ibu mengandung menjalani pemeriksaan antenatal mengikut jadual yang ditetapkan. Ibu-ibu yang mempunyai masalah kesihatan, perlu mengawal masalah kesihatan mereka terlebih dahulu sebelum merancang untuk hamil. Kaunseling sebelum merancang untuk hamil adalah disarankan.