loading...

Jenazah Adib Dibawa Pulang Dengan Helikopter Bomba

KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Kedah dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk dikebumikan, pagi ini.

Van jenazah JBPM yang membawa jenazah anggota bomba itu dilihat keluar dari pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 7.18 pagi tadi ke Jabatan Unit Udara JBPM di pangkalan Airod Sdn Bhd (Airod), Lapangan Terbang Subang, dekat sini.

Beberapa kenderaan awam dan bomba yang membawa ahli keluarga dan rakan setugas Allahyarham turut dilihat mengiringi van jenazah berkenaan keluar dari IPFN ke Subang bersama kenderaan dan motosikal pengiring Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Terdahulu, proses bedah siasat, mandi dan kafan selesai kira-kira jam 5.50 pagi sebelum jenazahnya disembahyangkan selepas solat Subuh di perkarangan IPFN oleh kira-kira 60 pegawai dan anggota bomba termasuk beberapa ahli keluarga yang setia menunggu di situ.

Timbalan Pengarah JBPM Selangor, Hassan ‘As’ari Omar, berkata jenazah akan diterbangkan ke Kedah dengan helikopter JBPM sebaik jenazah tiba di Airod dan dibawa ke kediaman keluarganya di Kampung Tebengau.

“Penerbangan ke Kedah dijangka mengambil masa kira-kira 3 jam.

“Jenazah Allahyarham akan disolatkan dan dikebumikan mengikut istiadat kebombaan di sana nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di luar IPFN, tadi.

Jenazah anggota Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya itu kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid As Saadah, Kampung Tebengau.

Kerja menggali liang sudah siap dilakukan oleh anggota JBPM Kedah sebaik menerima berita Muhammad Adib meninggal dunia pada jam 9.41 malam tadi.

Seramai 200 anggota dari JBPM Kedah ditugaskan bagi menyambut ketibaan jenazah dan menguruskan upacara pengebumian sehingga selesai.

Previous
Next Post »
loading...