GEORGETOWN: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pelaksanaan program Food Bank bertepatan dengan fokus kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Perdana Menteri berkata, program kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu mampu menjimatkan perbelanjaan golongan B40, khususnya kos pembelian makanan, sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna.
Katanya, inisiatif itu adalah usaha sukarela dan tidak memerlukan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan dengan pelaksanaannya dilakukan menerusi komitmen tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan pihak swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.
“Rakyat Malaysia direkodkan menghasilkan sebanyak 15,000 tan lebihan makanan setiap hari dengan 3,000 tan daripadanya masih elok dan selamat untuk dimakan.
“Sebanyak 3,000 tan lebihan makanan yang masih elok dan selamat untuk dimakan boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada hampir dua juta rakyat Malaysia, jika ia diagihkan dengan optimum,” katanya dalam ucapan dibacakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Dr Mahathir berkata, program itu akan menyasarkan seramai 186,354 ketua isi rumah di bawah paras garis kemiskinan di seluruh negara untuk diagihkan lebihan makanan yang dikumpul, selain kerajaan bersetuju melancarkan Yayasan Food Bank untuk memastikan ia lebih sistematik.
Selain itu, katanya, kerajaan berhasrat mewujudkan undang-undang khas bagi melindungi penerima dan penyumbang bantuan bagi memastikan pelaksanaan program berkenaan lebih teratur, seiring langkah digunakan di negara luar yang lebih awal melaksanakan program sedemikian.
“Dalam hal ini, KPDNHEP telah diamanahkan untuk melaksanakan kajian yang lebih terperinci mengenai perkara ini sesuai dengan acuan negara ini.
“Saya harap dengan lengkapnya semua mekanisme operasi pelaksanaannya, program Food Bank ini dapat digerakkan dengan jayanya bagi membantu semua golongan memerlukan, bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga di pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya.