loading...

Skim Perlindungan Nasional B40 Mulai 1 Januari 2019

PUTRAJAYA: Skim Perlindungan Nasional B40 yang menawarkan perlindungan insurans dan takaful kesihatan secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah yang berkelayakan akan dilaksanakan bermula 1 Januari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata dengan dana permulaan sebanyak RM2 bilion, ia sebagai bantuan kepada golongan berkenaan menghadapi cabaran yang timbul daripada masalah menghidap penyakit kritikal dan menjalani rawatan hospital yang boleh menjejaskan aliran pendapatan isi rumah mereka.

Beliau berkata, skim itu akan menyediakan perlindungan kesihatan secara percuma kepada penerima yang layak untuk 36 jenis penyakit kritikal dan mereka akan mendapat bayaran sehingga had RM8,000 yang diagihkan dalam tempoh yang akan diumumkan.

“Skim ini juga memberi bayaran harian sebagai pendapatan gantian semasa rawatan hospital untuk tempoh maksimum 14 hari setiap tahun pada kadar RM50 sehari atau bersamaan dengan RM700 setahun.

“Dengan saiz dana sebanyak RM2 bilion sebagai permulaan, skim ini dijangka akan menawarkan perlindungan perubatan selama lima tahun untuk kumpulan sasaran.

“Kerajaan menjangkakan sebanyak 4.1 juta isi rumah B40 yang terdiri daripada individu berusia antara 18 hingga 55 tahun akan mendapat manfaat di bawah skim ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perlindungan di bawah skim itu akan bermula pada 1 Januari depan manakala pendaftaran dan perkhidmatan sokongan pelanggan akan beroperasi mulai 1 Mac tahun depan.

“Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian dan tiada pemeriksaan perubatan diperlukan untuk pengesahan kelayakan. Semua penerima yang layak di bawah skim ini akan dimaklumkan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

“Maklumat lanjut mengenai mekanisme dan pelaksanaan skim ini akan dihuraikan apabila ia dilancarkan secara rasmi pada awal tahun depan,” katanya.

Guan Eng berkata, skim berkenaan satu langkah penting diambil kerajaan untuk menubuhkan jaringan keselamatan sosial dalam aspek perlindungan insurans dan takaful kesihatan untuk golongan berpendapatan rendah secara percuma.

“Skim ini, yang dilaksanakan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia, berpandukan janji Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Senarai 36 Penyakit Kritikal yang Dilindungi di bawah Skim Perlindungan Nasional B40:

1. Penyakit Alzheimer/Gangguan Kemerosotan Otak Organik Tidak Boleh Pulih

2. Angioplasti dan Rawatan Pembedahan Lain Untuk Penyakit Arteri Koronari Utama

3. Meningitis Bakteria

4. Tumor Otak Benigna

5. Buta/Hilang Penglihatan Sepenuhnya

6. Pembedahan Otak

7. Kanser

8. Kardiomiopati Teruk

9. Anemia Aplasia Kronik

10. Koma

11. Pembedahan Pintasan bagi Penyakit Arteri Koronari

12. Kepekakan/Hilang Pendengaran Menyeluruh dan Tidak Boleh Pulih

13. Ensefalitis/encephalitis

14. Kegagalan Hati Tahap Akhir

15. Penyakit Paru-Paru

16. AIDS Peringkat Teruk

17. Hepatitis Virus Fulminan

18. Serangan Jantung

19. Pembedahan Injap Jantung

20. HIV Akibat Transfusi Darah

21. Kegagalan Buah Pinggang – Dialisis atau pemindahan buah pinggang

22. Kehilangan Upaya Hidup Sendiri (Berdikari)

23. Hilang Pertuturan

24. Trauma Kepala Utama

25. Pemindahan Organ Utama/ Sum

26. Penyakit Neuron Motor

27. Sklerosis Berbilang

28. Distrofi Otot

29. Kelumpuhan / Paraplegia

30. Penyakit Parkinson

31. Hipertensi Arteri Pulmonari Primer

32. Penyakit Arteri Koronari Lain Yang Serius

33. Strok

34. Pembedahan Aorta

35. Lupus Eritematosus Sistemik dengan Lupus Nefritis (SLE)

36. Pelecuran Tahap Ketiga

Previous
Next Post »
loading...