loading...

Air Garam Redakan Sakit Tekak Anak, Doktor Kongsikan Cara Redakannya!


Anak selesema akan disusuli dengan sakit tekak dan batuk-batuk dengan kerap. Sebenarnya tak perlukan ubat pun nak pulihkan sakit tekak anak.

Dr Ezairy M Sallih, pakar telinga, hidung dan tekak kongsikan cara semulajadi redakan sakit tekak anak. Mama papa pun boleh amalkan cara ni. Berkesan!

BAGAIMANA AIR SUAM DAN AIR GARAM MAMPU REDAKAN SAKIT TEKAK?


Ramai antara kita yang kerap mengalami masalah sakit tekak. Sama ada ibu, bapa atau anak-anak kecil. Berbagai-bagai cara dan petua yang yang diberi, tetapi amat sukar untuk dilakukan.

Saya beri contoh langkah paling mudah. Anda boleh lakukan di rumah sahaja. Jadikan amalan harian juga lebih baik. Bukan sahaja mampu menjaga kebersihan di dalam mulut tetapi dapat mencegah masalah lebih serius berlaku.

Persoalannya, benarkah hanya berkumur dengan air suam dan air garam mampu untuk meredakan masalah sakit tekak?

Untuk pengetahuan anda semua, sel-sel badan kita memerlukan suhu yang normal serta optimum untuk berfungsi dengan sempurna. Oleh kerana tekak dan bahagian kerongkong kita mudah terdedah kepada persekitaran luar melalui rongga mulut, biasanya terdapat penurunan suhu yang berlaku. Keadaan ini akan mengakibatkan metabolisme yang rendah dan dengan itu akan menurunkan lagi imuniti dalam kerongkong.

Apabila kita melakukan kumuran air suam dan hangat, tekak kita akan mengalami kenaikan suhu kepada tahap yang optimum yang kemudiannya akan memberi kelegaan kepada tekak. Oleh itu, pengambilan air suam juga sudah tentunya membantu untuk mencegah jangkitan tekak yang lebih serius.

Air suam dan hangat juga akan menyebabkan pengembangan pada salur darah, suatu proses fisiologi yang meningkatkan bekalan darah ke bahagian tekak. Dengan itu, ia akan meningkatkan bekalan oksigen, nutrien dan menyingkirkan metabolit-metabolit yang menyebabkan tindak balas sakit kepada pesakit.

Kesan ini berlaku untuk jangka masa pendek terutama jika tekak dipenuhi dengan lendir. Ini adalah sebab yang tepat mengapa air hangat dengan garam lebih baik untuk melakukan kumuran atau gargling. Garam boleh membantu menghilangkan lendir dari tekak dan seterusnya akan meningkatkan keberkesanan air suam.

Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Dr Ezairy M.Sallih
Doktor telinga, hidung & tekak (ENT)

Kredit: Dr Ezairy M Sallih

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...