loading...

UMNO Perlu Lupakan Hasrat Berkuasa Semula Masa Ini – Tok Mat

SEREMBAN: UMNO perlu melupakan hasrat untuk berkuasa semula buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan membina kembali keyakinan orang Melayu terhadap parti itu, kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang menjalankan tugas Presiden berkata, UMNO akan lebih menumpukan usaha menjadi wadah gerakan politik, amal dan bakti untuk bangsa Melayu.

“Kita tidak akan berunding dan memeta jalan belakang untuk meraih kuasa secara terdesak atau ‘hijack’ keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan kembali membanjiri serta menyibuk dalam pasukan kerajaan.

“Iltizam baharu UMNO ialah menyuburkan demokrasi Malaysia dengan mengukuhkan sistem dwiparti dan politik berprinsip. Rakyat Malaysia yang sudah memilih kerajaan baharu tidak akan dikhianati UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan membentangkan lima iltizam baharu UMNO untuk tanah air yang menjadi hala tuju parti itu, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, selain itu, pemimpin dan ahli akan membangunkan kewibawaan UMNO sebagai parti pembangkang yang dihormati serta disegani.

Beliau berkata, UMNO juga akan memerangi politik wang yang menjadi punca kejatuhan parti itu.

“Saya dan rakan akan membersihkan parti sebersih-bersihnya. Sesiapa tidak ingin bersama-sama dalam perang ini, berpindahlah ke parti seberang sana atau pihak yang boleh memberi habuan diharapkan.

“UMNO baharu hanya untuk mereka yang bersih, berjuang dan mengasihi bangsanya. Kita akan menghentikan politik wang sebelum ia menghentikan UMNO,” katanya.

Beliau berkata, UMNO juga akan menjadikan idea sebagai modal politik, bermakna tumpuan diberi terhadap hujah berdasarkan data, kajian, ilmu baharu dan pendekatan moden, malah UMNO juga tidak menjadikan usia sebagai kelebihan mana-mana pemimpin.

Katanya, UMNO turut beriltizam menyemak kembali agenda Melayu untuk diberi lonjakan baharu dalam usaha memperjuangkan bangsa tanpa meminggirkan kaum lain.

Mohamad turut menekankan dua perkara penting berhubung hala tuju baharu parti, termasuk hakikat bahawa pembangunan semula UMNO akan mengambil masa, justeru semua ahli dan pemimpin diminta bersedia menghadapi perjalanan sukar bersama-sama.

“Janganlah sesekali mengharapkan kejayaan pantas. Namun, yakinlah bahawa sabar dan tabah itu jodohnya bahagia. Semoga dengan muafakat ini, tugas kita untuk memulihkan UMNO akan menjadi amal soleh dan berjaya,” katanya.

Beliau berkata, UMNO juga perlu mencari kelaziman baharu yang tidak lagi menjadi retorik dan slogan kosong, serta terbuka menerima kritikan rakyat walaupun berat didengari.

Previous
Next Post »
loading...