loading...

Mat Sabu Bertemu Erdogan

KUALA LUMPUR: Ancaman pengganas Daesh dan isu penduduk etnik Rohingya antara perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan antara Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dalam lawatan rasmi ke negara itu yang berakhir hari ini.

Kementerian Pertahanan, dalam kenyataan hari ini, berkata turut dibincangkan semasa kunjungan hormat yang berlangsung di Kompleks Istana Presiden itu ialah hubungan kerjasama dua hala dan isu keselamatan serantau.

Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Halusi Akar, di Kementerian Pertahanan Nasional Turki serta menghadiri mesyuarat dua hala dipengerusikan bersama Malaysia-Turki.

“Mereka antara lain membincangkan kerjasama pertahanan khususnya berkaitan aspek latihan bersama dan pemindahan teknologi pertahanan antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan mengenai lawatan kerja rasmi 17 hingga 19 Disember itu.

Mohamad juga berpeluang melihat secara lebih dekat kemajuan industri pertahanan Turki melalui lawatan ke Istanbul Shipyard, Defence Industry Presidency, Havelsan serta Turkish Aerospace Industry.

Delegasi Malaysia antara lain disertai Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Duta Besar Malaysia Ke Turki, Datuk Abdul Razak Abdul Wahab.

Previous
Next Post »
loading...