loading...

Permohonan Masuk BERSATU Masih Diproses – Muhyiddin

PUTRAJAYA: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berlangsung petang ini tidak membincangkan soal kemasukan bekas ahli UMNO ke dalam parti itu.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mesyuarat hari ini hanya membincangkan mengenai persiapan yang sedang dilakukan untuk menghadapi Perhimpunan Agung Tahunan (PAT).

Beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan usul yang akan dibawa pada PAT berkenaan sama ada oleh majlis pimpinan tertinggi, Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

“Saya ingin tegaskan, tiada sebarang permohonan diluluskan lagi buat masa ini. Semua permohonan masih diproses dan sedang melalui ‘cooling off period’ (tempoh bertenang).

“Setiap permohonan perlu melalui proses tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk pastikan mereka bebas sebarang salah laku rasuah dan tapisan kes jenayah oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Mereka juga akan dinilai sama ada cukup sesuai atau tidak untuk menyertai BERSATU,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, beberapa wakil pemimpin Pakatan Harapan (PH) dijangka hadir pada perhimpunan kali ini termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan wakil komponen PH yang lain.

“Saya difahamkan, 16 perwakilan luar negara sudah dijemput menghadiri perhimpunan ini. Saya juga terkejut kerana lebih 300 pengamal media membuat liputan PAT kali ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, enam Ahli Parlimen UMNO mengumumkan keluar parti susulan hilang kepercayaan kepada pucuk kepemimpinan, diterajui Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, tiada anggota polis ditugaskan untuk perhimpunan ini kerana ia adalah perhimpunan parti politik.

“Perhimpunan ini adalah semata-mata mengenai parti politik, kami tidak akan menyalahgunakan kuasa mereka dan menggunakan pihak berkuasa kerajaan untuk hal-hal parti.

“Saya bukan di sini sebagai Menteri Dalam Negeri. Tiada polis di sini. Ini adalah mesyuarat politik. Kami tidak meminta polis berada di sini kerana kami mempunyai pegawai keselamatan dalaman sendiri termasuk daripada PICC (Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya).

“Jika pihak polis mahu datang ke perhimpunan ini, mereka sangat dialu-alukan,” katanya

Previous
Next Post »
loading...