loading...

PETRONAS Sahkan Bahan Api, Air Bercampur Akibat Tangki Bocor

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Berhad (PDB) mengesahkan bahan api di Stesen Minyak Petronas Solaris di Lebuhraya Besraya bercampur dengan air akibat kebocoran pada satu tangki di stesen berkenaan.

Bahan api yang tercemar itu menyebabkan kira-kira 20 kereta dan enam motosikal mengalami kerosakan selepas mengisi minyak di stesen berkenaan pagi tadi.

Petronas dalam kenyataan hari ini berkata siasatan mendapati kebocoran itu mencemarkan bahan api dengan air di dalam tangki berkenaan.

“Tindakan pemulihan segera sudah dijalankan untuk mengeluarkan bahan api yang tercemar dan mengasingkan tangki yang terjejas.

“Pihak PDB juga sudah menghubungi dan membantu semua pelanggan yang terjejas dalam kejadian pagi tadi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Stesen Minyak Solaris Besraya juga sudah beroperasi semula selepas siasatan dijalankan.

“Selepas pemeriksaan menyeluruh dan ujian integriti bahan api dijalankan di semua pam di stesen ini, Stesen Petronas Solaris Besraya kini memulakan operasi perniagaan seperti biasa.

“Pasukan kami akan kekal berada di stesen pada hari ini dan esok untuk bantuan lanjut sekiranya perlu,” katanya.

Katanya, pihak PDB juga memohon maaf atas semua kesulitan yang dialami.

Kejadian disedari berlaku sekitar jam 8 pagi apabila enjin kenderaan sebahagian besar pelanggan yang mengisi minyak terhenti secara tiba-tiba, tidak berapa lama selepas mengisi bahan api itu.

Previous
Next Post »
loading...