loading...

Wang Pengarah JSJ Di Akaun Bank Pendidikan Anak

KUALA LUMPUR – Wang berjumlah AUD$320,000 (RM971,483) milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dalam sebuah akaun di Australia adalah daripada sumber yang sah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu pada 2016 oleh Polis Persekutuan Australia (AFP) sebelum Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman segera menjalankan siasatan dalaman.

Menurutnya, siasatan mendapati akaun tersebut pada awalnya dibuka oleh Wan Ahmad Najmuddin pada 2011 bagi memudahkan penyaluran dana bagi pembiayaan pengajian diploma anak lelakinya di negara itu.

“Selepas itu, pada 2016, akaun yang sama kemudian diaktifkan semula untuk merancang pengajian sarjana anak perempuanya di Australia juga,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengulas laporan akhbar ‘Sydney Morning Herald’ bertajuk ‘Malaysia Top Cop Has $320K Seized by Australian Federal Police, Doesn`t Want It Back’, yang disiarkan hari ini.

Beliau berkata Wan Ahmad Najmuddin berupaya memberikan dokumen-dokumen sah bagi membuktikan dana tersebut adalah hasil penjualan rumahnya di Shah Alam, ketika itu bernilai RM700,000 (AUD$260,770).

“Dana tersebut diamanahkan kepada sahabat karibnya bagi membuat pemindahan wang ke akaun bank di Australia,” katanya.

Mohammad Fuzi berkata Pengarah JSJ itu setakat ini dapat menyediakan semua dokumen yang perlu dan relevan bagi membuktikan sumber dana dalam akaun ‘bank di negara itu.

“Beliau juga memberikan justifikasi mengenai keperluan untuk memperoleh akaun luar negara, semata-mata untuk tujuan membiayai pendidikan anak-anaknya di Australia,” katanya,

Beliau berkata bahawa tiada asas untuk menganggap sumber wang dalam akaun tersebut datang daripada hasil yang boleh dipertikaikan atau Wan Ahmad Najmuddin terbabit dalam sebarang bentuk kesalahan yang boleh didakwa. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...