loading...

Syarikat Swasta Perlu Hasilkan Inovasi Unik, Tingkatkan Pelancongan M’sia

LUMUT – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan meminta agar syarikat swasta melakukan inovasi unik dengan cara tersendiri dalam meningkatkan lagi industri pelancongan di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pihaknya sentiasa menyokong penuh dan menyambut baik usaha sektor swasta dalam mengadakan pelbagai program pelancongan dan kebudayaan bagi memajukan sektor pelancongan di negara ini.

“Selaras dengan potensi yang tinggi, pihak swasta harus menggunakan peluang ini dan bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan bagi mengoptimakan potensi pelancongan ini.

“Kita juga bersedia mewujudkan kerjasama pintar dengan mana-mana pihak swasta yang berminat bagi memajukan industri pelancongan dan kebudayaan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Acara Fantasy Lights of Marina (FLOM) dan Sambutan Chap Goh Meh di Marina Island di sini malam ini.

Acara FLOM yang berlangsung sejak November tahun lalu itu mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records 2017 selepas berjaya membuat pameran 36,000 kuntum bunga yang dilengkapi teknologi diod pemancar cahaya (LED).

Sementara itu, Mas Ermieyati berkata Marina Island merupakan salah satu syarikat swasta yang giat merancakkan aktiviti pelancongan seperti perancangan perayaan, menyokong kegiatan sukan pelancongan, pelancongan sambil belajar, pelancongan aqua dan asas tani yang perlu dicontohi syarikat swasta lain.

Beliau berkata usaha Marina Island itu amat bertepatan dan selari dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020) bertemakan Travel. Enjoy. Respect (Kembara, Gembira, Hormat) serta Tahun Melawat Perak 2017.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Marina Island kini giat berusaha untuk mempromosikan pelancongan bukan sahaja bertujuan untuk menarik pengunjung tempatan mahupun luar negara,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...