loading...

Inilah 8 contoh CEO berhati mulia yang sanggup berkorban untuk kakitangan mereka

Kata orang, buat baik akan dibalas baik. Zaman sekarang ini agak susah untuk berjumpa dengan majikan yang benar-benar mengambil berat tentang kakitangan. Kebanyakannya hanya lebih mementingkan keuntungan syarikat dan menjaga poket masing-masing.

Ada majikan yang berpura-pura baik di depan orang semata-mata hanya mahu namanya disanjung. Malah, ada yang lebih teruk, mereka memilih untuk menjadi bos yang digeruni dan dibenci oleh para pekerja. Hasilnya, kakitangan seringkali berasa tertekan dengan suasana persekitaran pejabat sehingga terpaksa berhenti kerja.

Namun, bagi 8 Ketua Pegawai Eksekutif contoh ini, mereka sanggup berkorban untuk para pekerja yang telah banyak meluangkan masa dan tenaga untuk syarikat. Kami kongsikan 8 perkara yang mereka buat sehingga telah berjaya mengubah nasib dan kehidupan kakitangan di syarikat masing-masing:

1. Joe Lorenz, Chevron

Selama hampir 15 tahun sejak 2003, Ray Olson sentiasa membuat upacara memperingati anaknya, Raymond Olson, yang meninggal dunia dalam satu kemalangan disebabkan pemandu mabuk. Timbul satu masalah apabila tapak peringatan itu terletak di atas tanah milik Chevron yang perlu dinaik taraf.

ceo bos majikan yang baik hati 8

Nasib menyebelahi Olson apabila pegawai eksekutif Chevron, Joe Lorenz, bergabung tenaga dengan Presiden Majlis Kejiranan California, Cesar Zepeda, untuk membina tapak peringatan yang kekal di sebuah taman berhampiran, lengkap dengan kerusi tempat duduk dan plak yang mempunyai gambar anak Olson.

Olson amat berterima kasih kepada mereka kerana berhati mulia, sekali gus membuktikan yang dunia ini masih mempunyai ramai orang baik.

2. Ingar Skaug, Wilh. Wilhemsen

Pengalaman pertama Ingar Skaug sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif mungkin bukan seperti orang lain. Beberapa bulan sebelum memulakan hari pertamanya di pejabat baru, satu tragedi telah menimpa Wilh. Wilhelmsen, sebuah syarikat perkapalan antarabangsa di Scandinavia apabila pesawat yang membawa dua pasukan pengurusannya terhempas dan membunuh kesemua 50 penumpang.

ceo bos majikan yang baik hati 7

Skaug mencari jalan terbaik agar syarikat dan perniagaan dapat diteruskan namun khuatir beliau akan menyinggung perasaan mana-mana pekerja lain yang sedang bersedih dan berkabung. Oleh itu, Skaug tidak banyak bercakap sebaliknya banyak meluangkan masa mendengar masalah dan berasa empati dengan pekerja yang kesedihan. 

Setahun kemudian, syarikat itu kembali berada pada landasan menuju kejayaan dan berkembang maju.

3. Dan Price, Gravity Payments

Siapa kata wang ringgit tidak boleh membeli kegembiraan? Pada tahun 2015, Dan Price, Ketua Pegawai Eksekutif Gravity Payments iaitu sebuah firma memproses kad kredit telah memotong gaji jutaan dolarnya menjadi $70,000. Penurunan sebanyak 90% itu digunakan untuk menaikkan gaji pekerja sehingga menjadi sama seperti gajinya.

ceo bos majikan yang baik hati 6

Apabila Price membuat pengumuman itu, para pekerja berasa amat teruja dan seolah-olah tidak percaya dengan tindakan pemimpin syarikat itu. Menurut Price, beliau membuat keputusan itu setelah membaca satu kajian yang menyatakan kebahagiaan peribadi akan bertambah baik sehinggalah gaji seseorang mencecah $70,000. Selepas itu, kegembiraan tidak akan meningkat lagi.

4. Christian Mischler, HotelQuickly

Seorang usahawan Swiss, Christian Mischler, memberi sepenuh kepercayaan kepada lebih 100 pekerjanya untuk bekerja pada bila-bila masa dan di mana saja mereka suka. Inc.com pernah melaporkan yang kakitangan HotelQuickly, iaitu sebuah aplikasi menempah hotel, boleh bekerja dari ceruk dunia mana sekalipun DAN mereka juga boleh memilih masa mula dan tamat waktu bekerja. Selain itu, mereka dibenarkan memilih tempoh dan bilangan hari bekerja.

ceo bos majikan yang baik hati 5

Menurut Mischler, pendekatan ini akan membuatkan para pekerja lebih produktif dan ia juga menawarkan keseimbangan budaya kerja yang lebih sihat. Apa yang penting, kerja mesti disiapkan dan memenuhi sasaran syarikat.

5. Harry Herington, NIC Inc.

Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pembekal perkhidmatan makluat, NIC Inc., membina kepercayaan di kalangan pekerjanya dengan melawat cawangan NIC di seluruh negara dengan menaiki motosikal. Harry Herington mengadakan sesi "Tanya CEO" dengan mengadakan jamuan makan malam bersama kakitangan sambil berbual dan berbincang tentang apa sahaja perkara sama ada berkaitan perniagaan atau tidak.

ceo bos majikan yang baik hati 4

Para pekerja berasa lebih dekat dengan beliau dan melihatnya dari perspektif yang lain. Dengan cara ini, beliau boleh meningkatkan kepercayaan di kalangan pekerja dengan lebih mudah.

6. Matthew Deffebach, Houston Haynes & Boone

Apabila nyawa seorang kakitangan firma yang telah lama bekerja perlu diselamatkan melalui pembedahan pemindahan buah pinggang, Matthew Deffebach yang merupakan rakan kongsi firma buruh dan pekerjaan telah menawarkan diri untuk mendermakan buah pinggangnya.

ceo bos majikan yang baik hati 3

Menurut Business Insider, beliau tidak mengendahkan jawatannya sebagai seorang majikan dan hanya ingin menyelamatkan pekerjanya yang merupakan seorang bapa kepada anak kecil berusia 6 tahun. Beliau tidak boleh bayangkan anak kecil itu membesar tanpa kasih sayang seorang bapa.

7. Nevzat Aydin, Yemeksepeti

Pada tahun 2015, pengasas syarikat pesanan makanan dalam talian, Yemeksepeti, telah memberikan satu kejutan kepada para pekerjanya yang akan diingati seumur hidup.

ceo bos majikan yang baik hati 2

Sebagai membalas jasa dan memberikan ganjaran atas usaha keras mereka, Nevzat Aydin membahagikan hasil keuntungan syarikat pada tahun itu iaitu sebanyak $27 juta sama rata kepada 114 orang kakitangannya. Setelah mendapat khabar baik itu, ada antara pekerjanya yang menangis kegembiraan.

Aydin percaya semangat kerja berpasukan di syarikat itu yang membuatkan mereka mengaut keuntungan besar dan kejayaan itu harus dikongsi bersama kerana ia lebih menyeronokkan.

8. Indra Nooyi, PepsiCo

Apabila Indra Nooyi menjadi Ketua Pegawai Eksekutif PepsiCo pada tahun 2006, beliau tidak menyangka yang kenaikan pangkatnya itu telah membuatkan ibu bapanya di India berasa amat bangga. Beliau juga tidak menyangka yang ia juga mencerminkan betapa hebatnya kemahiran keibubapaan mereka dalam membesarkan Nooyi.

ceo bos majikan yang baik hati

Beliau juga menyedari bahawa dia tidak pernah berterima kasih kepada ibu bapa pekerjanya kerana membesarkan anak dengan baik sehingga menjadi seorang pekerja yang bertanggungjawab. Kemudian, beliau mula menulis berpucuk-pucuk surat ditujukan kepada ibu bapa kakitangan untuk memberitahu bahawa anak mereka sedang melakukan kerja dengan sangat baik. Ada sebilangan ibu bapa yang berasa sangat tersentuh hingga membalas surat Nooyi.

Jika anda merupakan seorang bos atau majikan, cubalah sekali-sekala ambil hati pekerja seperti insan-insan di atas ini. Jika anda jaga kakitangan dengan baik, nescaya mereka juga akan menjaga syarikat anda dengan baik.

Previous
Next Post »
loading...