loading...

44 Sekolah Kurang Murid Bakal Dipindahkan

SHAH ALAM – Kerajaan mengenal pasti 44 sekolah di seluruh negara yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 10 orang untuk dipindahkan ke kawasan penduduk berkepadatan tinggi, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

Beliau berkata pemindahan kesemua sekolah itu akan dilakukan secara berperingkat memandangkan kerajaan berdepan beberapa cabaran terutama mendapatkan tapak tanah dan mengambil kira kos pembinaan.

“Daripada 44 sekolah yang mempunyai kurang 10 murid, 22 terdiri daripada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), manakala selebihnya SJK Cina dan Sekolah Kebangsaan (SK),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian bangunan baharu dan majlis pecah tanah Dewan Komuniti SJKT Sungai Renggam yang disempurnakan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan pada sidang media sama, berkata kerajaan memindahkan sekolah tamil yang mempunyai kurang daripada 10 murid di sesetengah kawasan di Johor dan Perak ke sekolah baharu yang dibina di kawasan mempunyai penduduk padat.

Mengenai majlis hari ini, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM1 juta kepada SJKT Sungai Renggam untuk pembinaan dewan komuniti khusus untuk kegunaan masyarakat India.

Katanya sekolah berkenaan juga diperuntukkan RM400,000 untuk membina dua bilik prasekolah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan pendidikan awal kepada murid-murid kaum India sebelum memasuki Tahun Satu. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...