loading...

Anak Jaundis, Ibu Elakkan Halia, Kunyit, Lada Hitam Masa Pantang. Susukan Sejam Sekali

Melalui fasa selepas bersalin atau dikenali sebagai berpantang adalah tempoh yang perlu dititikberatkan ibu. Apa sahaja sajian yang diambil si ibu boleh mempengaruhi tahap pemulihan dan sedikit sebanyak mempengaruhi jaundis bayi.

Semasa berpantang, tubuh ibu sedang dalam proses pemulihan akibat dari luka bersalin. Justeru, pemakanan seimbang amat dititikberatkan. Sajian pantang seharusnya berkhasiat membantu ibu dalam proses penyembuhan luka. Selain itu, ada juga bahan masakan yang perlu dielakkan semasa paras jaundis bayi masih tinggi.

Menurut Dr Amirah Alia Faizul, Pegawai Perubatan O&G, ibu perlu tahu mengatur sajian pemakanan seimbang semasa dalam tempoh berpantang bagi membantu penghasilan susu ibu yang berkualiti. Apatah lagi semasa jaundis bayi masih tinggi.

ELAK HALIA, KUNYIT & LADA HITAM MASA ANAK JAUNDIS


“Ibu yang menyusukan bayi yang jaundis dinasihatkan terus kan penyusuan dengan kerap. Pastikan bayi menyusu setiap sejam. Ibu tidak digalakkan makan makanan yang bercampur halia, kunyit dan lada hitam semasa bayi jaundis. Perlu makan makanan seimbang & minum air yang banyak untuk menghasilkan susu yang berkualiti. Sekiranya bayi jaundis adalah dinasihatkan segera ke klinik untuk rawatan susulan,” kata Dr Amirah.

LUKA EPISIOTOMI CEPAT SEMBUH


Selepas bersalin, luka episiotomi juga memerlukan penjagaan rapi agar cepat sembuh.
Ibu disarankan untuk menjaga kebersihan bahagian alat sulit serta mencuci setiap kali ke tandas. Selain itu ibu perlu memastikan bahagian luka dikeringkan setiap kali buang air kecil atau besar.

“Makan makanan berprotein tinggi seperti ayam, daging, soya, tempe untuk cepatkan proses penyembuhan. Jangan takut untuk bergerak perlahan-lahan untuk memperbaiki aliran darah pada bahagian luka supaya oksigen dan nutrisi cukup untuk penyembuhan. Benang akan larut dlm masa 4 minggu hingga 3 bulan bergantung kepada jenis benang yang digunakan untuk menjahit luka episiotomi.

BERSALIN CAESAREAN ELAKKAN IKAN HARUAN

“Bagi luka caesar ibu perlu mengelakkan makan ikan haruan sebab bimbang organ-organ dalaman akan melekat menyebabkan kesukaran bagi pembedahan caesarean anak pada kelahiran seterusnya.

Bagi penjagaan luka ibu yang bersalin secara pembedahan, Dr Amirah menyarankan agar ibu memperbanyakkan rehat, mengelak dari mengangkat objek berat, mengamalkan pemakanan seimbang untuk mnghindari sembelit yang mungkin boleh memburukkan lagi keadaan.

Ibu disarankan untuk sentiasa memeriksa luka dan jahitan. Pastikan tiada tanda-tanda jangkitan seperti merah di sekeliling kulit jahitan, bengkak dan berair. Ibu seharusnya tidak mengabaikan preskripsi bil ubat tahan sakit yang dibekalkan. Bagi ibu bersalin melalui pembedahan caesarean, menyusukan bayi secara sisi atau football hold (lengan tampung badan bayi) boleh mengelakkan bayi daripada terkena pada luka jahitan.

PERIKSA KESIHATAN DIRI SEBELUM MULA RAWATAN PANTANG


“Bersalin caesarean, ibu perlu memastikan ibu tidak berurut pada kawasan pembedahan. Urutan diluar kawasan abdomen adalah dibolehkan. Ibu juga tidak boleh melakukan urutan sengkak dan bertungku. Periksa tekanan darah sebelum melakukan tangas kerana tangas boleh menyebabkan tekanan darah turun mendadak . Pastikan tekanan darah tidak terlalu rendah. Sebaik-baiknya rawatan pantang disarankan untuk dimulakan selepas hari ketiga bersalin bagi ibu yang bersalin normal. Ia adalah untuk memastikan badan ibu sudah pulih dari stress semasa melahirkan.

LATIHAN KEGEL & ELAK AKTIVITI BERAT


Dr Amirah juga menasihatkan ibu-ibu yang selepas bersalin tidak terlalu menekan diri dengan melakukan tugas-tugas yang berat. “Dalam fasa berpantang selepas bersalin, ibu yang mengalami perubahan major sewaktu mengandung mengambil masa 6 minggu untuk pulih seperti sedia kala. Dalam tempoh ini ibu memerlukan penjagaan rapi.

“Ibu-ibu dinasihatkan untuk mendapat rehat secukupnya dan mengehadkan aktiviti-aktiviti berat. Masa berpantang ialah masa bonding dengan bayi serta memberi sepenuhnya perhatian keatas kesihatan diri Dan kesihatan bayi. Jangan lupa mengamalkan latihan Kegel untuk menguatkan lantai pelvis yang telah kendur semasa proses kelahiran bayi. Latihan ini dapat mengurangkan risiko rahim jatuh. Dengan usaha yang dilakukan dan ibu kembali sihat seperti sediakala selepas melahirkan dan berpantang,” kata Dr Amirah.

SELIDIK DULU SEBELUM PILIH PERAWAT PANTANG

Ketika ditemui dalam acara All About Confinement anjuran Pa&Ma Moms-To-Be & Casabonda, Dr Amirah turut memberikan panduan bagi ibu-ibu yang ingin mendapatkan perkhidmatan perawatan pantang. Katanya sebelum memilih, terlebih dahulu selidiki latar belakang perubatan perawat bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.

Sebaik-baiknya yang telah mendapatkan kursus yang dianjurkan pihak berwajib dan tidak menggunakan ubat-ubatan serta herba terlarang. Pengetahuan tentang resusitasi awal jika berlaku kejadian seperti pendarahan secara mengejut atau ibu tiba-tiba tidak sedarkan diri amat penting bagi menjamin kelancaran proses berpantang.

Artikel berkaitan: All About Confinement Pa&Ma-Casabonda Meriah. Bakal Mama Papa Kaut Ilmu Berpantang

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...