Oleh : Saadah Latib
KUALA LUMPUR: Meskipun berhadapan dengan masalah kesihatan mental namun ianya tidak membataskan seseorang itu daripada bangkit dan terus berdikari.
Menurut Pengarah Operasi dan Latihan Yayasan Kesihatan Mental (MHF), Salleh Ibrahim ahli keluarga harus memainkan peranan penting dalam membantu golongan ini kembali menjalani kehidupan normal.
“Walau apa jua yang kita alami sebagai keluarga dan individu yang menghadapi kesihatan mental selalu ada harapan untuk bangkit.
“Hidup kita tidak akan berakhir walaupun ketika penyakit hadir tetapi kita harus mampu menyesuaikan diri, menerima keadaan diri dan sama-sama bangkit seterusnya mengecapi kebahagian kembali,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan kepada 10 orang pelatih kursus bakeri dan kulinari.
Tambahnya, sesetengah masyarakat mahupun ahli keluarga sering menganggap bahawa sekiranya seseorang itu menghadapi kesihatan mental ianya merupakan indentiti baharu bagi pesakit tersebut.
Walaubagaimanapun, tanggapan tersebut adalah salah sama sekali kerana pesakit mampu pulih dan kembali kepada masyarakat.
“Kita sering menganggap penyakit itu adalah identiti baharu untuk mereka yang menghidap kesihatan mental namun begitu perkara itu tidak tepat.
“Sebaiknya kita harus membantu untuk hal-hal penting yang mereka belum mampu lakukan, sewajarnya perlakukan mereka ini seperti selayaknya insan biasa,” tegasnya.
Turut hadir Pengerusi MHF, Tan Sri Hashim Meon dan Pengarah Eksekutif, Datuk Dr Abdul Aziz Abdullah.