KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO berpendirian Barisan Nasional (BN) perlu meletakkan calon bagi menentang Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata BN perlu bertanding dalam PRK itu sebagai tanda meraikan demokrasi berpolitik di negara ini.
“Kita meraikan demokrasi dan kita (BN) perlu bertanding dalam PRK itu.
“Kalau tanya saya, saya mahu Pemuda bertanding,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato Onn, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin mencadangkan UMNO dan BN tidak perlu meletakkan calon bertanding di PRK Parlimen Port Dickson kerana menganggap tindakan itu membuang masa.
Beliau menyifatkan PRK Parlimen Port Dickson diadakan kerana penyandangnya ‘saja-saja’ letak jawatan seolah-olah mempermainkan undi rakyat, bukan disebabkan wakil rakyatnya meninggal dunia.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini dilaporkan berkata keputusan sama ada BN akan bertanding atau tidak, bergantung kepada keputusan Majlis Tertinggi BN yang akan bermesyuarat pada 24 September ini.
Rabu lalu Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding pada PRK di situ.
Mengulas pendirian dua Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang sedia berkempen untuk Anwar dalam PRK itu, Asyraf Wajdi berkata UMNO boleh mengambil tindakan terhadap kedua-duanya jika terbukti berlaku pelanggaran disiplin.
“Kita menghormati kebebasan bersuara tetapi akhirnya kalau memang jelas ada pelanggaran disiplin parti, harus diambil tindakan,” katanya.