KENINGAU: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan beliau sedia melepaskan jawatan dalam Kabinet apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri.
Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu sudah sedia maklum dalam kalangan ahli PKR iaitu apabila Anwar diterima sebagai Perdana Menteri, beliau berundur dan melepaskan jawatan dalam kerajaan.
“Beliau (Anwar) dijanjikan jawatan itu dan kalau beliau jadi Perdana Menteri saya tidak akan ada lagi dalam Kabinet,” katanya.
Dr Wan Azizah berkata demikian kepada media pada Majlis Jasamu Dikenang yang diadakan khas untuk beliau sempena 20 tahun penubuhan PKR di Dewan Yuk Yin, di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata, walaupun ada pihak mendakwa tindakan suaminya kembali ke arena politik sebagai tidak sabar dan tergesa-gesa, itu adalah hak Anwar selepas dinafikan sebelum ini.
Katanya, Anwar terpaksa melalui pelbagai keperitan bukan saja dilucutkan jawatan, malah terpaksa meringkuk di penjara selama 11 tahun.