KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual menyampaikan syarahan di Pusat Pengajian Islam Oxford di Universiti Oxford esok bertajuk ‘Cabaran Tadbir Urus Yang Baik Dalam Negara Islam’ sempena siri pertama lawatannya ke United Kingdom (UK) sejak Jumaat lalu sehingga lusa.
Perdana Menteri akan menyampaikan syarahan itu di Auditorium Malaysia, bangunan di pusat pengajian itu yang siap dibina tahun lalu dan dijangka disiarkan secara langsung menerusi internet kerana permintaan tinggi negara Islam dan masyarakat antarabangsa untuk mendengar ucapan beliau.
Ia mengulangi sejarah Dr Mahathir selaku Perdana Menteri yang mana ketika menjadi Perdana Menteri keempat, beliau turut menyampaikan syarahan bertajuk ‘Salah Faham Terhadap Agama Islam’ ketika kali pertama berkunjung ke pusat pengajian itu pada 1996.
Syarahan kali ini adalah yang pertama bagi Dr Mahathir selepas diangkat menjadi Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei lalu.
Sejak 20 tahun lalu, Dr Mahathir memiliki minat yang berterusan terhadap kerja pembinaan pusat pengajian itu termasuk melakukan beberapa siri lawatan melihat pembinaan bangunan termasuk selepas disiapkan pada tahun 2017.
Perdana Menteri diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta pegawai kanan Kementerian Luar Negara.
Dr Mahathir juga dijadualkan bertemu dengan pelabur terkenal dan penting, penganalisis pasaran modal antarabangsa serta pelabur baru berpangkalan di Kesatuan Eropah (EU) dan UK yang berpotensi untuk melabur di Malaysia.
Pada Ahad, Dr Mahathir turut dijadual bertemu dengan pelajar dan ahli Kelab Bunga Raya UK yang ditubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Februari 2017 untuk rakyat Malaysia berada di UK.
Selepas menamatkan lawatan kerja siri pertama ini, Dr Mahathir dijangka akan berangkat ke New York pada Selasa bagi menghadiri Mesyuarat Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang Ke-73 (UNGA-73) dan dijangka kembali semula ke UK pada 29 September hingga 1 Oktober untuk lawatan siri kedua.