loading...

Mudah Kerana UMNO Tak Berkuasa

KUALA NERUS: Perbincangan ke arah pembentukan kerjasama PAS-UMNO diakui lebih lancar ketika ini kerana UMNO tidak lagi memegang tampuk kuasa pemerintahan.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, mengakui UMNO yang kini dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, lebih mudah didekati dan boleh berbincang dalam suasana tenang.

Malah, Hadi menyifatkan majlis perasmian Muktamar PAS ke-64 hari ini agak luar biasa dengan semua pihak menyaksikan kehadiran Ahmad Zahid bersama beberapa pemimpin UMNO dan MIC selaku komponen Barisan Nasional (BN).

“Kehadiran lebih banyak parti politik termasuk UMNO dan MIC memberi nilai tambah kepada muktamar.

“Sekurang-kurangnya, mesej pucuk pimpinan PAS dapat disampaikan secara langsung,” katanya yang kelihatan cerita pada sidang media selepas perasmian Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Buat pertama kali dalam sejarah politik tanah air, perasmian muktama PAS dihadiri pemimpin tertinggi UMNO, manakala perasmian sayap Pemuda dan Muslimat turut menampilkan kelibat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi serta Datuk Dr Noraini Ahmad.

Ditanya jika perbincangan tidak rasmi berhubung kerjasama PAS-UMNO berlaku ketika kedua-dua presiden parti itu menikmati jamuan selepas perasmian, Hadi ketawa lalu berkata: “Kami cuma makan.”

Mengulas mengenai maklum balas Zahid terhadap ucapan dasar Hadi, Presiden PAS itu berkata: “Alhamdulillah, respon bagus tapi kami lebih kepada makan.”

Hadi turut mengakui kerjasama PAS-UMNO yang disebut-sebut kebelakangan ini jauh lebih mudah berbanding perbincangan 10 tahun lalu yang membawa kepada gembar-gembur pembentukan kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, salah tanggapan pelbagai pihak yang berlaku pada 2008 menyebabkan timbulnya pelbagai spekulasi.

“Kita bukannya nak bergabung atau masuk BN. Kita cuma melihat apa yang berlaku di Indonesia, Afrika Selatan dan United Kingdom apabila semua parti terbabit dalam kerajaan.

“Waktu itu, kita melihat kepada tiada pembangkang tetapi lebih kepada membuat teguran dan saling menasihati.

“Itu yang saya cadangkan tapi masa itu UMNO rasa dia kuat, maka dia tolak kita. Sekarang UMNO dah bukan kerajaan, keadaan itu jadi lebih mudah,” katanya.

Hadi berkata, PAS pernah bekerjasama dengan UMNO sebelum pembentukan Barisan Nasional (BN) dan kedua-dua pihak mengakui politik melalui pelbagai perubahan seiring peredaran masa.

Katanya, apa juga dasar dan strategi politik PAS akan ditentukan oleh Majlis Syura Ulama seperti amalan selama ini.

“Majlis Syura perlu mengkaji pelbagai aspek dari segi hukum syarak dan apa juga kerjasama perlu menepati dasar ditetapkan PAS,” katanya.

Katanya, PAS tidak mengamalkan politik menyerang, sebaliknya memberi penerangan.

“PAS sudah biasa menghadapi serangan politik bertubi-tubi termasuk daripada kerajaan, dan kami harap persekitaran sekarang lebih positif,” katanya.

Previous
Next Post »
loading...