KOTA KINABALU: Individu bertanggungjawab menimbulkan kekecohan dan membaling kerusi akan dibuang dari parti, kata bakal Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau mengulas kejadian ‘baling kerusi’ selepas sidang media Jawatankuasa Pemilihan Parti PKR di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.
Jelas beliau, jika didapati bersalah dan mempunyai bukti, parti tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.
“Pertamanya orang-orang yang telah lakukan kegiatan yang tidak wajar itu harus kalau ada bukti sah kita akan baling keluar dari parti.
“Keduanya soal penangguhan itu kerana nak memantapkan saya, dan tidak mahu ada kekecelaruan yang membangkitkan permasalahan,” katanya ketika ucapan Sambutan Hari Malaysia 2018 PKR Sabah di sini hari ini.
Tambah Anwar, proses pengundian Pemilihan Keadilan 2018 di empat negeri iaitu Perak, Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka yang ditangguhkan adalah bertujuan untuk mengelakkan timbul perkara yang tidak diingini berulang.