
PORT DICKSON: PAS berkeyakinan parti itu mempunyai peluang untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson walaupun menyedari Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai reputasi besar.
Calon PAS, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, 57, berkata nama yang terkenal tidak menjanjikan undi yang banyak kepada Anwar berikutan rakyat semakin bijak membuat pilihan.
“PH gagal menunaikan janji yang ditawarkan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu. Sekarang adalah masa untuk rakyat menghukum dan membuktikan kuasa mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas mengenai bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, yang akan bertanding atas tiket Bebas, Mohd Nazari tidak menafikan kelebihan dimiliki lawannya itu.
“Beliau mungkin ada kelebihan sebagai anak tempatan, namun terpalit dengan banyak isu terutama berkaitan FELDA. Selain itu, beliau juga tidak melakukan apa-apa untuk Port Dickson ketika menjadi Menteri Besar sebelum ini.
“Pengundi akan berfikir apa yang beliau boleh lakukan sebagai wakil rakyat Bebas jika mereka mengundinya kali ini. Saya berpendapat, PAS mempunyai peluang 50-50 untuk menang,” katanya.
Kerusi Port Dickson kosong selepas Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding untuk mencapai cita-cita bakal Presiden PKR itu menjadi Perdana Menteri kelapan.

Penjawat Awam Nyaris Terkena Tembakan Ketika Meman ...

Timbul Banyak Spekulasi Mengenai Kebakaran Paip Ga ...

212 Kenderaan Sementara Ringankan Beban Mangsa Keb ...

Carro Sumbang 30 Kereta, Vincent Tan Hulur Rm3,000 ...