loading...

Isa Samad Bebas Bertanding – TPM

SERDANG: Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad bebas bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri, berkata malah semua pihak berhak untuk bertanding di kawasan Parlimen itu.

“Calon Bebas itu hak dia nak bertanding. Isa Samad (pun), itu hak dia,” katanya yang juga Presiden PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Better Brighter Anjung Kasih@Hospital Serdang, di sini.

Dr Wan Azizah berkata demikian bagi mengulas tindakan Mohd Isa akan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Parlimen Port Dickson menentang suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Isa yang juga bekas Ahli Parlimen Jempol membuat keputusan itu kerana UMNO tidak meletakkan calon di kawasan berkenaan.

Mengulas cadangan kerjasama UMNO-Pakatan Harapan (PH) oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Wan Azizah berkata, Kabinet belum membuat mesyuarat untuk membincangkan isu itu.

Menurut beliau, cadangan itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri sebaik pulang daripada lawatan rasmi luar negara.

“Kita belum lagi buat perjumpaan dan tunggu Tun (Dr Mahathir Mohamad) balik dan kemudian kita akan berbincang.

“Bagaimana kita hendak meneruskan dan sebab apa kita kerjasama. Namun kita melihat bagaimana boleh atau tidak sama ada meneruskan kerjasama itu dan tunggu sampai Tun balik,” katanya.

Ditanya sama ada PKR bersetuju dengan cadangan kerjasama itu, Dr Wan Azizah berkata, parti itu juga belum mengadakan perbincangan lagi.

Previous
Next Post »
loading...