loading...

Pemilihan PKR Bermula

KUALA LUMPUR: Proses memilih kepemimpinan PKR bermula hari ini dengan 76 jawatan dipertandingkan di peringkat pusat dan 10,212 jawatan lagi membabitkan persaingan di peringkat cabang seluruh Malaysia.

Pemilihan kali ini mencatatkan sejarah tersendiri kerana ia pertama kali diadakan selepas PKR membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH).

Dijalankan secara berperingkat-peringkat, pemilihan kali ini menyaksikan Kedah dan Pulau Pinang sebagai pembuka gelanggang yang mana seramai 105,056 anggota PKR akan mengundi kepemimpinan masing-masing selain memilih Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pemilihan yang berlangsung empat tahun sekali itu menyaksikan pengundian di Kedah membabitkan seramai 49,924 ahli PKR yang layak daripada 15 cabang parti manakala 55,132 anggota akan mengundi di 13 cabang di Pulau Pinang.

Ahli parti akan memilih jawatan MPP iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat, ketua Wanita pusat dan ahli majlis pimpinan pusat.

Bagi pemilihan peringkat cabang, ahli PKR akan memilih ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan 15 ahli jawatankuasa cabang, selain ketua AMK cabang, timbalan ketua AMK cabang, naib ketua AMK cabang dan 15 ahli jawatankuasa AMK cabang.

Selain itu turut dipilih ialah ketua Wanita cabang, timbalan ketua Wanita cabang, naib ketua Wanita cabang dan tujuh ahli jawatankuasa Wanita cabang.

Pemilihan parti kali ini juga mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya dilaksanakan menggunakan sistem e-undi (undi secara digital) serta mengguna pakai konsep ‘satu ahli satu undi’ dengan 80,000 anggotanya layak mengundi.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din, berkata pengundian itu akan bermula 9 pagi dan berakhir pada 5 petang.

“Kita jangkakan keputusan awal boleh diketahui seawal jam 6 petang dan akan dipaparkan di pusat tempat mengundi setiap cabang dan dari masa ke semasa kita akan memaparkan maklumat terkini keputusan MPP di portal www.pemilihankeadilan2018.com,” katanya dihubungi NSTP, semalam.

Rashid menasihatkan ahli PKR memastikan mereka membawa kad pengenalan dan telah membayar yuran keahlian untuk melayakkan mereka mengundi.

“Bagi mereka yang belum membayar yuran keahlian boleh bayar di pusat mengundi,” katanya

Seramai 800,000 ahli PKR seluruh negara layak mengundi pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung esok sehingga 28 Oktober depan.

Bagi negeri-negeri lain pemilihan selepas ini akan berlangsung di Perlis dan Perak pada 23 September, Johor (30 September), Kelantan dan Terengganu (5 Oktober), Pahang (6 Oktober), Wilayah Persekutuan (7 Oktober), Selangor (13, 14, 21 Oktober), Negeri Sembilan dan Melaka (20Oktober); Sarawak (20, 21 Oktober) dan Sabah (27, 28 Oktober).

Pada penamaan calon 5 Ogos lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding sebagai presiden apabila tiada calon lain tampil bagi merebut jawatan berkenaan.

Bagi jawatan timbalan presiden akan menyaksikan pertembungan antara Ahli Parlimen Gombak yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Kerusi naib presiden yang memperuntukkan empat kekosongan bakal direbut 12 calon, termasuk empat penyandang jawatan berkenaan dan tiga tempat bagi jawatan sama akan dibuat secara lantikan.

Penyandang jawatan itu ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Samsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr A Xavier Jeyakumar; dan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Antara muka baharu bagi merebut jawatan berkenaan ialah Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli PKR Cabang Puchong, Michael Tamil; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Ahli PKR Cabang Padang Serai, Prof Datuk Dr G. Balasubramaniam dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.

Previous
Next Post »
loading...