KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sebulat suara memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dengan tidak meletakkan calon.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bukan saja tidak letak calon, malah BN juga tidak akan mengerahkan sebarang jentera atau ahli sebagai menyokong mana-mana calon pembangkang atau bebas sekalipun.
Beliau menegaskan, keputusan itu bukan bermaksud BN enggan meraikan proses demokrasi tetapi cara pengosongan kerusi itu tidak demokratik.
“Oleh yang demikian, atas prinsip yang dipegang oleh BN dan UMNO, kita memikirkan bahawa jika sesuatu pilihan raya diadakan untuk terjemah erti demokrasi sebenar selepas berlaku kematian (wakil rakyat), sudah tentu kita akan menyertai dalam proses demokrasi.
“Tetapi jika kekosongan bukan sebab kematian tetapi cuma mahu memenuhi cita-cita seseorang, maka satu pertimbangan perlu dilakukan.
“Menyedari hal itu, kita ambil keputusan berdasarkan perbincangan dengan rakan komponen BN, maka kita ambil keputusan memboikot PRK Port Dickson atau maksudnya tidak letak calon,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik di Menara Datuk Onn, hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Port Dickson adalah kerusi yang diperuntukkan kepada MIC.
Namun, katanya, protes harus ditunjukkan bagi ‘menyelamatkan’ peruntukan sebanyak RM3.6 juta bagi PRK Port Dickson supaya wang itu boleh disalurkan untuk manfaat rakyat.
Katanya, ini bukan pilihan raya pertama yang diboikot BN selepas pernah melakukan perkara sama pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Penanti apabila turut tidak meletakkan calon.
“Oleh kerana SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) memperuntukkan RM3.6 juta untuk kendalikan PRK ini, maka kita harap ia digunakan untuk rakyat, lebih baik daripada pilihan raya. Oleh demikian keputusan yang diambil adalah muktamad.
“Pada masa sama, kita juga tidak akan beri sokongan terhadap mana-mana calon bebas yang diwakili secara individu ataupun parti termasuk PAS.
“Contoh di Seri Penanti, hal sama dilakukan (boikot). Pada ketika itu kita lihat bahawa ada calon bebas tanding, jadi mungkin situasi sama berlaku di Port Dickson maka kami tidak punya kaitan kalau calon bebas tanding.
“Sekiranya ada calon kita (BN) mahu tanding, itu bukan calon BN. Kita tidak beri sokongan kepada calon bebas, individu malah parti,” katanya.