loading...

Skuasy Sumbang Emas Ketujuh

JAKARTA: Semangat kemerdekaan ternyata memacu skuad skuasy lelaki untuk memastikan sasaran tujuh emas kontinjen Malaysia tercapai dengan melakar kejutan menumbangkan Hong Kong 2-1 dalam aksi final sebentar tadi.

Tampil sebagai perseorangan ketiga negara, Ng Eain Yow  muncul wira apabila mempamerkan keazaman yang tinggi berdepan pemain ke-21 dunia yang juga pemenang emas acara individu, Leo Au.

Pemain ke-44 dunia itu tidak berdepan kesukaran apabila menang dalam aksi tiga set 11-7, 11-7, 11-4 dalam tempoh 32 minit untuk memastikan emas menjadi milik negara.

“Ramai yang meragui kemampuan kami meraih emas namun kami tetap yakin ada peluang. Kami beri semua yang termampu. Saya amat bangga dengan pencapaian ini.

“Saya melihat dua rakan sepasukan beraksi dengan penuh semangat dan saya juga mahu memberikan yang sama di set penentuan selepas terikat 1-1,” jelasnya yang mengharapkan Program Podium dapat diteruskan kerana menyumbang kepada kejayaan mereka.

Kemenangan mereka sedikit sebanyak menebus kekecewaan skuad wanita yang meraih gangsa.

Jelasnya, dia sudah melakukan persiapan terperinci sebelum menentang pemenang emas acara individu dari Hong Kong itu.

“Saya turun dengan perancangan yang jelas, apa yang harus dilakukan dan tidak meletakkan tekanan kepada diri sendiri.

“Saya tidak bermain dalam individu, jadi saya perlu beri semuanya dalam acara berpasukan,” katanya.

Terdahulu Ivan Yuen yang turut sebagai perseorangan pertama tewas kepada Yip Tsz Fung 3-1 ( 7-11,18-20, 11-9, 8-11).

Bagaimanapun kapten negara, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan bangkit menyamakan kedudukan 1-1 apabila menewaskan pemain ke-19 dunia, Max Lee dalam aksi tiga set 11-9, 11-7, 11-7 dalam tempoh 33 minit.

Kejayaan skuad lelaki negara itu juga adalah yang pertama selepas meraih perak pada edisi 2010 dan 2014.

Previous
Next Post »
loading...