loading...

2,801 Pengundi Awal PRK Balakong, Seri Setia Mengundi Selasa Ini

PETALING JAYA: Seramai 2,801 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia akan mengundi pada Selasa ini.

Anggota Suruhanjaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Md Yusop Mansor berkata, bagi PRK DUN Balakong, seramai 31 pengundi awal terdiri daripada anggota polis akan mengundi di Ruang Legar Kuarters Balai Polis Seri Kembangan.

Pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai 8 pagi hingga 12 tengah hari, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi proses pengundian awal PRK DUN Seri Setia pula, Md Yusop berkata seramai 2,770 pengundi awal terlibat, merangkumi  2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 anggota polis.

Menurut beliau, anggota tentera serta pasangan akan mengundi di Dewan Serba guna Ababil, Pangkalan Udara Subang manakala anggota polis pula akan menunaikan tanggungjawab mereka di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia, Shah Alam.

“Pusat pengundian awal itu akan dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.

Md Yusop berkata proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan.

Di samping itu katanya, pemerhati-pemerhati pilihan raya terdiri daripada wakil organisasi serta pertubuhan bukan kerajaan yang dilantik oleh SPR juga akan turut menyaksikan proses pengundian awal tersebut.

“Untuk makluman, kertas-kertas undi awal tidak akan dikira di tempat mengundi (saluran) pada 4 Sept ini, sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat iaitu di lokap-lokap balai polis.

“Pengiraan kertas-kertas undi awal tersebut hanya akan dijalankan pada 8 Sept ini secara berkelompok di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon masing-masing,” katanya.

PRK DUN Balakong dan Seri Setia masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki, berdepan calon MCA, Tan Chee Teong, di Balakong sementara di Seri Setia, calon PH, Halimey Abu Bakar, bertembung dengan calon PAS, Dr Halimah Ali.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

Kedua-dua kawasan tersebut sebelum ini dimenangi oleh PH.

Previous
Next Post »
loading...