Kredit foto: Instagram UNIC
Kumpulan nasyid UNIC akui tidak faham akan punca sebenar penyanyi rap, Caprice enggan menjayakan sesi promosi lagu duet mereka, Sedar, sejak dilancarkan hujung tahun lalu.
Fakhrul mewakili kumpulan itu mendakwa Caprice hanya terlibat beberapa kali sahaja dalam rangka promosi termasuk temubual di stesen radio. Akan tetapi, lewat ini kelibatnya 'hilang'!
"Lazimnya, persetujuan dibatalkan Caprice pada saat-saat akhir dengan pelbagai alasan termasuk ada mesyuarat atau mahu pergi kerja. Ada juga yang dia sudah beri komitmen, tetapi tidak datang.
"Pada mulanya, kami fikir, mungkin hanya beberapa acara saja dia tidak dapat hadir. Tetapi nampaknya, majoriti daripada acara promosi yang diatur, tidak dapat dipenuhi Caprice... Janji tinggal janji," katanya memetik laporan BH Online.
Malah, ketiadaan Caprice ketika siri promosi juga turut mengundang persoalan kepada para peminat dan rakan media.
"Ketiadaan Caprice memberi kesan dan tampak tidak elok buat kami. Kalau sekali dua dia tak datang, tidak mengapa. Hingga peringkat ini, kami tidak dapat sembunyikan lagi perasaan," katanya.
Fakhrul bagaimanapun memberitahu dia, Najdi dan Bazli memahami kesibukan jadual masa bintang hip-hop itu.
"Saya pernah menghantar WhatsApp kepadanya... Hanya beberapa kali saja mesej dibalas.
"Sejak 22 Februari lalu, semua mesej yang dihantar tidak dibalas biarpun saya yakin dia membacanya. Ini kerana ada tanda atau 'tick' biru pada paparan mesej yang dihantar," katanya.
Turut mengundang kekesalan Fakhrul apabila pegawai perhubungan awam yang berperanan dalam sesi promosi single Sedar sudah meletakkan jawatan kerana tidak mahu reputasinya tercemar dengan masalah disiplin yang ditimbulkan Caprice.
Selain Fakhrul, Najdi juda meluahkan rasa keliru dengan perangai Caprice.
"Kalau ada yang tak kena, ia boleh dibawa berbincang. Kami tertanya-tanya kenapa Caprice jadi begini.
"Kalau diikutkan, hendak saja kami bertanya artis lain yang pernah bekerjasama dengannya," katanya.