LELAKI dipercayai dibunuh dua rakannya selepas ditemui digantung di dalam hotel bajet di Taman Bandar Baru, Sungai Petani, malam tadi.
Mangsa, 53, ditemui di dalam bilik air oleh penjaga hotel selepas mendengar pergaduhan pada 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisiner Saifi Abdul Hamid, berkata, mangsa yang berasal dari Kajang, Selangor tiba di hotel itu pada 6 petang bersama dua rakan dan mendaftar masuk ke bilik di tingkat dua hotel itu.
Bagaimanapun, pada 8.30 malam penjaga hotel itu mendengar suara seperti pergaduhan dari bilik terbabit dan tidak lama selepas itu, dua rakan mangsa tergesa-gesa keluar dari bilik itu dan dan menghilangkan diri.
“Penjaga hotel curiga dengan gelagat dua lelaki tersebut dan terus memeriksa bilik sebelum mendapati pintu bilik terbuka dan terkejut apabila terlihat mangsa tergantung di dalam bilik air.
“Penjaga itu kemudian cuba menurunkan mangsa yang ketika itu masih bernyawa sebelum menghubungi hospital dan polis.
“Namun mangsa disahkan mati oleh pegawai perubatan yang tiba kemudian,” katanya.
Saifi berkata, pemeriksaan awal mendapati kesan luka pada dahi serta calar pada badan dan lebam akibat jerutan pada leher mangsa.
Siasatan awal dapati mangsa dipercayai digantung dengan wayar elektrik oleh dua rakannya manakala rakaman kamera litar tertutup mendapati kedua suspek bergegas meninggalkan hotel selepas kejadian itu, katanya.
“Polis sudah mengenal pasti kedua-dua rakan mangsa dan yakin suspek dapat ditahan dalam masa terdekat. Motif pembunuhan masih dalam siasatan.
“Mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. – myMetro Online
*Sekadar Video Hiasan..
Loading...