loading...

BWF Perlu Beri Alasan Kukuh – Mohamad Norza

PETALING JAYA – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) perlu memberi alasan kukuh ekoran menghalang pemerhati lantikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Jadadish Chandra mengikuti sesi sebutan kedua kes mengatur perlawanan melibatkan dua pemain badminton profesional negara di Singapura, minggu lalu​​​​​​.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund semalam, tidak menjawab persoalan kepada permasalahan tersebut.

Beliau berkata larangan dengan tidak membenarkan penglibatan Chandra dalam sesi sebutan kedua kes itu sepatutnya diutarakan semasa sesi sebutan kes berkenaan bermula pada 10 pagi dan bukan sebaliknya.

“Larangan itu harus dilakukan semasa prosiding bermula 10 pagi, tetapi mereka melakukannya pada sebelah malam. Kami mencabar mereka (memberi penjelasan kerana menghalang Jadadish), sepatutnya sebarang isu berkaitan apa jua bantahan harus dibangkitkan semasa prosiding.

“Pada dasarnya kami mahu mendapatkan hak kami…beritahu mereka supaya beri penjelasan kerana isu ini sudah diketahui umum…mereka perlu tahu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian tajaan antara BAM dan 100Plus bernilai RM1.75 juta bagi tempoh dua tahun, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Norza berkata pihaknya akan meminta BWF memberi penjelasan secara bertulis berhubung tindakan badan induk itu menghalang wakil BAM menghadiri sesi sebutan kedua kes berkenaan.

Media tempatan melaporkan Lund mempunyai alasannya tersendiri mengapa pihaknya mengelak mengeluarkan kenyataan kerana BWF mempunyai peraturan dan garis panduan perlu dipatuhi selain polisi tidak membenarkan mereka mengeluarkan sebarang kenyataan atau spekulasi sehingga keputusan akhir dibuat mengenai kes tersebut.

“Bagi saya kenyataan beliau (Lund) semalam seperti mendiamkan diri. Beliau bercakap perkara asas sahaja,” katanya.

Sementara itu mengenai penajaan itu, Mohamad Norza berkata kerjasama yang terjalin sejak November 2003 itu dilihat sebagai usaha berterusan bagi melahirkan pemain badminton negara bertaraf dunia.

Melalui perjanjian tersebut, 100Plus turut menjadi penaja utama bagi Kejohanan Sirkit Remaja Kebangsaan Bawah 12, 14 dan 16 tahun dan juga kategori berpasukan.

Katanya 100Plus akan menjadi penaja utama bagi minuman isotonik dalam kesemua kejohanan yang dianjurkan BAM termasuk Terbuka Malaysia dan Masters Malaysia. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...