WAHH!! Jika benar bagai dikata, kami rasa ini adalah hadiah paling bermakna buat pasangan Fizo Omar dan isteri setelah empat tahun mendirikan rumah tangga.
Seperti khabar yang baru kami terima, isteri Fizo yang juga pengasas kepada jenama tudung Fareeda iaitu Mawar kini sudah berbadan dua. Betul ke?
Bagi mendapat kesahihannya, kami hubungi Fizo sendiri untuk menjelaskan situasi sebenar.
"Cepat betul tau ye! Apa yang boleh saya katakan, selagi belum bertemu doktor, saya tidak berani nak sahkan perkara ini secara rasmi.
"Memang saya ada syak ke arah itu setelah memerhati status haid isteri kebelakangan ini, tapi itulah... saya tak boleh nak pandai-pandai selagi belum berjumpa doktor," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanapun jelas bekas finalis Hero Remaja 2007/08 ini lagi, dia bercadang untuk pulang ke kampung (Kelantan) pada Khamis namun tidak dijelaskan apakah tujuannya.
"InsyaAllah dalam minggu depan kami akan follow up dengan doktor.
"Seandainya ada khabar gembira, nanti saya maklumkan. Doakan yang baik-baik," akhirinya ringkas.
Fizo atau Wan Hafizul Wan Omar, 32, berkahwin dengan Mawar Abdul Karim, 28, pada 10 November 2013.