loading...

NSTP Setuju Bayar Khalid Ganti Rugi RM60,000

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah Khalid  Abdul Samad terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Mahfar Ali dan tiga lagi berhubung Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (RUU 355) berjaya diselesaikan selepas akhbar berkenaan bersetuju membayar ganti rugi RM60,000 kepada Ahli Parlimen Shah Alam.

Dalam penyelesaian yang direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Aliza Sulaiman, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Datuk Mahfar Ali dan tiga lagi yang dinamakan sebagai pihak defendan bersetuju membayar jumlah tersebut dalam masa 30 hari.

Bersama penyelesaian itu, akhbar berkenaan juga bersetuju membuat satu wawancara dengan Menteri Wilayah itu bagi menjelaskan pandangan beliau mengenai isu RUU.

Khalid selaku pihak plaintif memfailkan saman tersebut pada 3 Februari 2017.

Selain Mahfar, pihak plaintif turut menamakan dua wartawan akhbar tersebut, Hazwan Faisal Mohamad dan Rohaniza Idris dan penerbit akhbar itu, The New Straits Times Press (M) Bhd. sebagai defendan pertama hingga keempat.

Pihak plaintif menyatakan, BH pada 27 Mei tahun lalu di muka surat 16 dan 17 telah menyiarkan artikel bertajuk, Selepas 20 tahun terhalang, rang undang-undang Mahkamah Syariah akhirnya dibentang di Parlimen. Kerajaan beri Pas laluan, DAP; Amanah bantah.

Pihak plaintif mendakwa, artikel tersebut mengandungi perkataan fitnah dengan niat jahat Itu seolah-olah menggambarkan beliau pemimpin yang menentang pelaksanaan hukum syarak termasuk hukum hudud, bermusuhan dengan Pas walaupun dalam isu kepentingan umat Islam, menentang pemerkasaan Mahkamah Syariah dan pemimpin yang mengikut telunjuk pemimpin politik bukan Islam.

Khalid sehubungan itu antaranya menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, permohonan maaf dan perintah injunksi daripada pihak defendan.

Khalid diwakili peguam Muhammad Faiz Fadzil manakala peguam Datuk M. Reza Hassan mewakili pihak defendan. – UTUSAN ONLINE

Previous
Next Post »
loading...