GUA MUSANG: Seorang Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang di sini, tidak menyangka gambar yang diambilnya ketika berada di lokasi kemalangan maut di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, semalam mempunyai imej yang pelik.
Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Awang Mamat berkata, imej menyerupai seorang kanak-kanak itu dirakamkan kira-kira pukul 5.01 petang semalam ketika anggotanya menjalankan operasi mengeluarkan mangsa kemalangan maut yang tersepit di dalam kenderaan jenis Proton Wira.
Katanya, di dalam kereta tersebut hanya ada pemandu sendirian, tidak ada penumpang dan dia maut akibat tersepit.
“Sampai di tempat kejadian, saya terus ambil gambar. Bila balik ke balai saya perlu membuat laporan kemalangan serta memilih gambar kemalangan untuk dihantar kepada Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dan pihak media.
“Namun saya mendapati imej kanak-kanak sedangkan tidak ada kanak-kanak sepanjang saya berada di kawasan kemalangan yang mencurigakan berada dalam kereta yang menyebabkan pemandu kereta tersebut maut selepas bertembung dengan sebuah pikap jenis Toyota Hilux,” katanya.
Awang berkata, sepanjang bertugas sebagai anggota bomba kira-kira 20 tahun lalu, dia tidak pernah berdepan dengan kejadian itu.
Katanya, kawasan kemalangan yang terletak berhampiran Gua Sejuk itu sememangnya kerap berlaku kemalangan maut.
“Laluan itu dianggap kawasan keras kerana tidak jauh daripada kawasan itu sering berlaku kemalangan yang meragut banyak nyawa.
“Baru-baru ini, tidak jauh daripada lokasi itu telah berlaku kemalangan bas ekspres dengan sebuah Proton Persona yang meragut nyawa seorang wanita. Beberapa tahun lalu juga, berlaku kemalangan sehingga meragut nyawa enam beranak,” katanya.
Dalam kejadian kemalangan petang semalam, seorang pekerja balak, Mohd. Salimi Mohd. Razali, 34, berasal dari Rancangan Tanah Felda Chiku 1 di sini, maut apabila kereta Proton Wira dipandunya bertembung sebuah pikap.
Mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai dipercayai gagal memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan kenderaan Toyota Hilux dari arah bertentangan. -UTUSAN