KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dilantik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baharu yang diumumkan menerusi Facebook Kesatuan Kakitangan Akademik (ASA) universiti berkenaan.
ASA menerusi kenyataan dalam laman sosial itu, berkata pihaknya mengharapkan kejayaan yang lebih besar dan gemilang di bawah kepemimpinan Maszlee.
“Dr Maszlee adalah bekas Presiden ASA sejak 2012 hingga 2015. Kami berharap beliau dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik,” katanya semalam.
Sementara itu, jurucakap UIAM, berkata UIAM belum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Kami masih menunggu Unit Komunikasi Korporat (UKK) Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya.
KPM ketika dihubungi memaklumkan pihaknya belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pelantikan berkenaan.