loading...

Safawi Mohon Maaf Buat ‘Shh Gesture’ Masa Raikan Gol Penalti

Penyerang sayap pasukan kebangsaan, Safawi Rasid memohon maaf kepada semua penyokong pasukan negara berikutan cara meraikan gol yang dilakukannya selepas menyempurnakan sepakan penalti dalam perlawanan menentang pasukan Thailand di perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Dalam perlawanan terakhir saingan bagi Kumpulan G itu, gol tunggal Safawi memberi kemenangan sulung kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe di Dubai yang mana sebelumnya pasukan negara tewas dua perlawaan berturut-turut; masing-masing 4-0 kepada UAE dan 2-1 kepada Vietnam.

Namun, di sebalik kemenangan yang turut mengesahkan kemaraan pasukan negara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia itu, hangat dibincangkan di media sosial ketika ini adalah gaya Safawi Rasid meraikan jaringan gol penalti menentang Thailand yang dilakukannya.

Keraian Safawi dan De Paula selepas meraikan gol menjadi fokus kerana kedua-duanya mempamer lagak seolah-olah sedang ‘membahan’ semula penyokong sendiri. Mereka berdua menerima kritikan pedas atas prestasi yang mereka pamerkan dalam perlawanan di UAE tempoh hari.

Tanpa mereka sedari, ‘ekor Harimau Malaya’ yang berada di stadium terkesan dengan tindakan mereka, hanya meraikan gol depan kamera, bukan depan penyokong.

Sejurus menyedari kesilapan yang dilakukannya itu, Safawi telah memuat naik satu kenyataan melalui Instagram Story dan mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang sentiasa berada di belakang mereka serta memohon maaf kepada penyokong yang terkesan.

“Alhamdulillah syukur. Terima kasih kepada penyokong dan penonton yang selalu ada di belakang kami. Saya minta maaf atas celebration yang tak menyenangkan itu. Perkara tersebut tidak akan berulang lagi, maaf sekali lagi,” tulis Safawi dalam kenyataan tersebut.

Skuad Harimau Malaya telah selamat mendarat di KLIA, Sepang, tengah hari kelmarin selepas mengharungi baki tiga perlawanan Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 secara berpusat di Dubai, UAE dari 3 hingga 15 Jun 2021.

Terdahulu pesawat khas Malaysia Airlines Harimau Malaya telah singgah di Bangkok bagi menurunkan 13 pemain, termasuk Safawi Rasid yang akan menyambung tugasan kelab bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2021.

Melalui satu kenyataan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mengesahkan hanya lapan pemain meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur manakala baki lima lagi pemain yang berpangkalan di luar negara telah pun pulang ke destinasi masing-masing secara berasingan, semalam.

Previous
Next Post »
loading...