loading...

Lelaki ini cadang ‘tebuk bukit’ bina terowong Kimanis-Keningau, jimat 25km

Negeri Sabah merupakan negeri yang bergunung ganang. Berikutan daripada itu, kebanyakan laluan darat di negeri ini terletak pada kedudukan geografi yang berubah ubah. Ada laluan di kawasan landai. Ada laluan di atas bukit.

Isi Kandungan

FAKTOR MUKA BUMI

Sekiranya ingin melakukan pergerakan rentas daerah, kebiasaannya anda perlu merentasi jajaran pergunungan dengan melalui laluan mendaki, menurun, selok belok, selekoh dan ada kalanya curam.

Disebabkan faktor muka bumi ini, tempoh perjalanan kebiasaannya mengambil masa yang panjang untuk bergerak dari satu daerah ke daerah yang lain terutamanya daerah yang terletak di pantai barat Sabah menuju ke pantai timur Sabah. Begitu juga sebaliknya.

CADANG ‘TEBUK BUKIT’

Seorang lelaki dengan nama ‘Michael Frederick’ memuatnaik satu hantaran di laman Facebook miliknya mencadangkan untuk membina sebuah terowong yang merentasi pergunungan Banjaran Kroker Kimanis-Keningau.

Menurut beliau, sekiranya aspirasi ini berjaya dicapai, perjalanan antara Kimanis-Keningau akan menjimatkan jarak perjalanan sejauh 25km. Hal ini bermakna jika sebelum ini jarak perjalanan sejauh 32km, jarak perjalanan baru jika terowong tersebut dibina adalah dianggarkan sekitar 7km sahaja.

PEMBINAAN TEROWONG BAWA MANFAAT

Beliau menambah bahawa cadangan pembinaan ini akan membawa pelbagai manfaat. Contohnya, keselamatan memandu akan lebih terjamin disebabkan faktor geografi yang lebih baik sekaligus mengurangkan risiko penyelenggaraan kenderaan yang memerlukan kos.

WUJUDKAN TOL?

Bahkan, beliau turut menyatakan bahawa idea tersebut dapat dilaksanakan sekiranya tol diwujudkan. Akan tetapi, tidak dipastikan atas alasan apa perlu diwujudkan tol bagi menjayakan cadangan ini.

Setakat artikel ini ditulis, hantaran tersebut menerima sebanyak 997 likes, 417 comments dan 987 shares.

LALUAN UTAMA WARGA SABAH

Kebanyakan komen di hantaran tersebut menyokong agar idea dan aspirasi ini direalisasikan. Hal ini kerana laluan Keningau-KK merupakan salah satu laluan utama yang menghubungkan Pantai Barat Sabah ke Pantai Timur Sabah.

Kebanyakan warga Sabah akan menggunakan laluan ini untuk bergerak dari Kota Kinabalu menuju Tawau, begitu juga sebaliknya.

Mengakhiri hantaran tersebut, beliau menanda (tag) facebook Jabatan Ketua Menteri Sabah, facebook Jeffrey G Kitingan, facebook JKR Malaysia dan facebook JKR Sabah.

Previous
Next Post »
loading...