Mesti ada ibu yang tertanya-tanya bila waktu yang sesuai untuk beli pam susu kan. Sebenarnya waktu yang sesuai ialah bergantung pada keadaan dan keperluan si ibu.
Mommies tidak perlu terburu-buru membeli pam semasa awal kelahiran. Dapatkan sebanyak info yang boleh sebelum membeli pam susu untuk mengelakkan pembaziran.
Sekiranya melahirkan bayi pramatang yang memerlukan mommies memerah susu secara berkala pada awal kelahiran, mungkin pam perlu dibeli sejurus selepas kelahiran. Sekiranya mommies perlu membuat stok susu sebelum kembali bekerja, keperluan menggunakan pam susu hanya bermula pada seawal 4 minggu selepas kelahiran sahaja.
Ini kerana sebulan pertama kelahiran adalah tempoh bagi mommies berlatih dan menyusukan bayi pada payudara tanpa had.
Penggunaan pam pada awal kelahiran juga kadang kala membawa kesan yang kurang diingini. Ia dapat menurunkan keyakinan ibu kerana tidak banyak susu dapat dikeluarkan dari payudara.
Kalau mommies berasa perlu membeli pam susu semasa hamil, pastikan ia tidak menjadi faktor penghalang penyusuan susu ibu pada payudara semasa tempoh berpantang.
Pam susu cuma alat membantu penyusuan susu ibu dalam keadaan-keadaan tertentu. Ia bukannya satu-satunya faktor kejayaan bagi terus menyusukan anak.
Kuantiti susu yang dikeluarkan melalui pam tidak menggambarkan jumlah susu yang berada di dalam payudara.
Ada mommies yang terlalu fokus memerah susu hingga terlupa penyusuan susu ibu pada payudara yang sepatutnya lebih diutamakan.
Pada awal kelahiran, pemerahan susu hanya dilakukan apabila perlu sahaja. Malah lebih baik menggunakan tangan kerana ia lebih efektif terutama bagi mengeluarkan kolostrum dan susu pada hari-hari awal kelahiran.
Jadi mommies kena gunakan pam susu sebaiknya. Elakkan ia menjadi senjata yang memakan tuan dan mensabotaj matlamat utama penyusuan susu ibu.
Jangan disebabkan teknik penggunaan pam yang tak betul, terus mommies ingat tak ada susu dan tak boleh nak menyusukan bayi. Walhal punca masalahnya mommies salah pilih pam atau mommies tak serasi dengan pam tersebut.
Penyusuan susu ibu bukan bermakna pemberian susu ibu semata-mata, tetapi hubungan kasih sayang unik atau ‘bonding’ antara ibu dan anak yang banyak berlaku pada payudara.
Sumber: FEED By Ummi Najla