Korang minat lari Marathon? Sekarang ni memang banyak acara larian di Malaysia ni. Sampai ramai yang terkeliru dan menyebut setiap larian itu adalah marathon.
Sebenarnya ramai yang terkeliru sampai lari 5 kilometer pun dianggap marathon. Tak mengapa, sebab mungkin anda tak tahu. Jadi Jamal yang pernah beberapa kali lari marathon ni nak explain sikit tentang larian marathon.
Untuk makluman anda, jarak bagi acara larian untuk ditakrifkan sebagai marathon adalah 42.195 kilometer. Amacam? Memang jauhkan?
Bagi pelari elit, mereka mengambil masa kira-kira 2 jam 05 minit(lelaki) manakala 2 jam 22 minit (wanita). Bagi pelari amatur pula boleh mengambil masa kira-kira 4 jam 22 minit (lelaki) manakala 4 jam 48 minit (wanita).
Ini merupakan anggaran dari Very Well Fit. Mungkin bagi pelari Malaysia ia akan berbeza pula masa yang direkodkan.
Kenapa Marathon 42 Kilometer
Mengikut sejarahnya, Marathon adalah nama sebuah daerah di Yunani (Greece). Berlaku Perang Marathon pada tahun 490 Sebelum Masihi (SM) di Teluk Marathon olen tentera Yunani dari Athens yang melawan serangan angkatan Persia.
Setelah perang berjaya dimenangi oleh tentera Yunani, seorang pengutus pesan bernama Pheidippides telah dihantar ke Athens untuk memberitahu tentang kemenangan mereka.
Menurut sejarah, Pheidippides telah berlari tanpa henti dari Marathon menuju ke Athens dan sejurus sampai ke lokasi beliau telah meninggal dunia akibat keletihan.
Ketika sukan Olimpik bermula pada tahun 1896, acara lumba lari Marathon diperkenalkan bagi memperingati sejarah Pheidippides yang berlari sekitar 40 kilometer ketika itu.
Beberapa pelari Amerika Syarikat yang menyertai acara ini di sukan Olimpik ini telah memperkenalkan sukan ini ke negara asal dan pada tahun 1897 lumba lari Boston Marathon mula dianjurkan sehingga ke hari ini.
Ia kini menjadi acara lumba marathon yang tertua dan terhebat di dunia.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa(International Olympic Committee, IOC) pada tahun 1907 mempersetujui bahawa jarak marathon adalah 25 batu (40 km) untuk Olimpik 1908 di London.
Namin ketika pemetaan laluan dilakukan mereka memutuskan untuk jarak 26 batu (dari Windsor Castle menuju White City Stadium). Laluan tersebut ditambah dengan satu pusingan trek (586 ela 2 kaki) agar garisan penamat berada betul-betul di depan singgahsana diraja.
Laluan tersebut akhirnya diubah abila pintu masuk berlainan digunakan diikuti dengan separuh pusingan trek 385 ela dan tamat di tempat yang sama.
Jarak itu telah menjadi 26 batu 385 ela yang kini bersamaan dengan 42km 195 meter yang akhirnya ditetapkan sebagai jarak rasmi lumba Marathon oleh International Amateur Athletic Federation (IAFF) pada Mei 1921.
Jarak tersebut juga diberikan julat toleransi tambahan maksima 42 meter (0.1%) sebagai antisipasi kesalahan pengukuran (1 meter tambahan per 1 km).
Pada awalnya, acara Marathon ini hanya dibuka kepada kaum lelaki. Ia dibuka secara rasmi untuk atlet wanita hanya pada Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Rekod dunia bagi acara Marathon bagi kategori lelaki dilakukan oleh Eliud Kipchoge (Kenya) dengan catatan 2 jam 01 minit 39 saat yang dilakukan di Berlin pada tahun 2018. Bagi kategori wanita pula Paula Radcliffe masih memegang rekod dengan catatan masa 2 jam 15 minit yang dilakukan di London pada tahun 2003.
Bagi rekod Malaysia pula ianya dicatatkan oleh Tan Huong Leong pada Marathon Tokyo 2018 dengan catatan 2 jam 25 minit 28 saat.
Sumber :- JOm Lari
JOm Kita Lari via Adha .ms