loading...

Mengandung Anak Pertama Dan Kedua Semangatnya Lain. Asalkan Semua Lancar

Ketika mengandung anak pertama, kebanyakan bakal ibu berasa keterujaan yang luar biasa. Itu memang perasaan normal.

Gembira, tak sabar, bertuah, bangga, bersemangat, semuanya bersatu menjadi satu kebahagiaan.

Namun, apabila disahkan mengandung anak kedua, cara penerimaan kehamilan sudah berbeza. Bukan tidak gembira dengan rezeki yang datang tetapi perlu lebih kuat, cekal dan realistik tetang kehidupan yang bakal dilalui dengan seorang bayi baharu serta si kecil yang sedang membesar.

Apatah lagi jika anda mengandung anak kedua ketika anak pertama masih lagi berusia bawah 12 bulan. Cabarannya memang berganda.

Berikut antara perbezaan antara kehamilan anak pertama dan anak kedua.

1. Kepenatan

Perkataan ‘penat’ mungkin tidak dapat menggambarkan kepenatan yang dirasai. Masa mengandung anak pertama, anda masih boleh bersantai, bermalas-malasan dan tidur sekejap apabila rasa penat terutama di hujung minggu. Tetapi bila mengandung anak kedua, anda perlu abaikan semua itu sebab si kecil yang sulung perlukan perhatian dan bermacam keinginannya yang perlu dipenuhi.

2. Senaman

Semangat ibu mengandung sulung memang berbeza. Maklumlah banyak masa. Segala tips yang dipelajari daripada majalah, internet semua dipraktiskan termasuklah senaman khusus untuk ibu hamil. Tetapi bila mengandung anak kedua, cukuplah ‘senaman’ melayan kerenah anak sulung. Sudah cukup buat ibu berpeluh. Itu belum lagi bab anak minta didukung!

3. Komen

Masa mengandung anak sulung, ramai yang memuji penampilan berseri-seri. Katanya seri ibu mengandung sulung. Tetapi masa mengandung anak kedua, kebanyakannya memberitahu betapa letihnya diri anda, hairan bagaimana boleh uruskan kehamilan yang meletihkan dan anak kecil yang banyak ragamnya.

4. Lemah kawalan air kencing

Jangan terkejut, jika anda hamil rapat anak kedua, kemungkinan masalah sukar mengawal air kencing akan berlaku terutama ketika bersin, ketawa, batuk dan banyak pergerakan.

5. Perancangan

Bukan pilih kasih tetapi kebanyakan ibu terutama yang mengandung rapat anak pertama dan kedua mungkin tidak sempat melakukan perkara yang sama. Jika hamil anak sulung, semua dirancang dan diuruskan dengan teratur seperti membeli peralatan  bayi, menyimpan gambar ‘scan’ bayi setiap kali pemeriksaan kehamilan dan bermacam lagi perkara berkaitan bayi anda. Tetapi bila masuk anak kedua anda tidak sempat hendak melakukan perkara yang sama kerana sibuk menguruskan anak sulung. Jangan rasa bersalah, itu memang normal.

Apa pun cabarannya, raikan kandungan kedua dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan namun dalam masa yang sama layan anak sulung dengan penuh kasih sayang.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...