loading...

Sebar berita Saleem meninggal Kali Kedua, Fauziah Nawi terpaksa minta maaf lagi

INI sudah dua kali… kedua-duanya tidak disengajakan.

Menyedari kesilapan itu, primadona Fauziah Nawi memohon maaf kepada keluarga penyanyi Saleem ekoran kekhilafan terbaharunya berkongsi info daripada pihak ketiga kononnya vokalis kumpulan Iklim itu sudah meninggal dunia.




Fauziah, 64, berkata, tindakannya itu berlaku secara spontan kerana dia berasa sedih mendengar perkhabaran diterima kerana Saleem adalah rakannya.

“Saya dengan rendah hati memohon maaf kepada keluarga Saleem atas kesilapan saya dan semua rakyat Malaysia yang tersinggung dengan perkongsian saya itu.

“Salah saya tidak membuat semakan terlebih dahulu sama ada sesuatu berita saya terima itu benar atau pun tidak.

“Apabila terima berita sedih berkaitan kematian memang saya terus kongsi di Facebook tambahan pula kalau individu itu adalah rakan saya,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Jumaat.

Terdahulu isterinya kepada penyanyi kumpulan Iklim itu, Julia Bachok terpaksa menafikan khabar angin mengenai berita konoonnya suaminya telah mati pagi tadi.

Julia berkata Saleem, 56, yang demam panas berterusan selama seminggu, kini semakin stabil tetapi masih lemah kerana kurang makan.

“Seharusnya mereka bertanya dahulu kepada saya kerana saya ada di samping Saleem sepanjang 24 jam,” katanya.

“Telefon saya ini boleh dihubungi bila-bila masa sahaja dan tanyalah saya sendiri atau anak-anak.”

Kesal dan kecewa dengan dakwaan itu, Julia menasihatkan semua pihak agar mendoakan kesihatan Saleem dan bukannya menyebar cerita tidak benar.

Saleem, nama glamor AM Salim Abdul Majeed, semalam dilapor sudah mula bercakap tetapi masih dipantau doktor di Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini.

Anaknya Iera Fakhira memberitahu portal itu semalam keluarganya belum dimaklumkan penyakit Saleem kerana doktor masih melakukan pemeriksaan rapi.

Tambahnya, doktor memberitahu ayahnya hanyalah demam panas selama seminggu dan pernafasannya lemah tapi sudah beransur pulih.

Vokalis kumpulan Iklim dikenali melalui lagu-lagu hitnya “Suci Dalam Debu”, “Aduhai! Seribu Kali Sayang” dan “Blues Terengganu Kita”.

Pada 1990, kumpulan itu yang baru muncul di persada muzik negara memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) TV3 melalui lagu “Suci Dalam Debu”.
Previous
Next Post »
loading...