loading...

Nenek Johan Qari Junior 2017 Kongsi Saat Akhir Haikal Tertekan Hingga Menangis



MERSING - Juara Qari Junior 2017, Haikal Firdaus Mohd Jaafarudin, 12, pernah menangis akibat terlalu tertekan dan bimbang tidak dapat melakukan yang terbaik di pentas akhir.

Neneknya, Asmah Jusoh, 59, berkata, Haikal tidak dapat menahan perasaannya lebih-lebih lagi dia tidak mempunyai masa untuk membuat persiapan.

“Malam sebelum pentas akhir itu dia menangis, saya tanya kenapa Abang Long? Dia kata, susah Tok Umi.

“Saya pesan pada dia, tak apalah. Jangan menangis, tawakal pada ALLAH. Baca macam hafazan pun tak apa. Serah pada ALLAH,” katanya ketika ditemui di Kampung Belukar Juling, Endau, kelmarin.

Bagaimanapun Asmah mengakui ketika di peringkat separuh akhir, pernah terdetik di hatinya untuk membiarkan cucunya itu menarik diri.

“Masa separuh akhir kami hampir nak tarik diri sebab terlalu kasihankan dia. Haikal pun bukan budak yang lasak.

“Tapi dalam program ini memang menguji fizikal dan mental dia. Keluar awal pagi, balik lewat malam kemudian sambung terus dengan pertandingan, memang penat kita tengok,” katanya.

Asmah yang bertanggungjawab mengasuh Haikal sejak kecil menganggap kemenangan tersebut sebagai rezeki buat cucunya.

“Kalau nak bandingkan asas taranum yang peserta lain pelajari jauh beza sebab Haikal belajar di rumah saja. Memang berat untuk Haikal sebab dia lebih kepada hafazan tapi tema Qari Junior bukan hafazan.

“Apa yang Haikal buat di pentas akhir itu, dia baca secara spontan. Masa dengar itu saya memang menangis sebab tak sangka dalam dia tak yakin itu dia rangkum empat lagu terus,” katanya.

Menurut Asmah, Haikal sendiri yang menyuarakan hasrat untuk menyertai Qari Junior 2017 selepas melihat iklan uji bakat yang disiarkan.

Difahamkan Haikal terpaksa menarik diri daripada mewakili negeri dalam Perujian Menghafaz Al-Quran kategori 1-10 juzuk di Melaka berikutan pertindihan jadual program Qari Junior.

Di sebalik kesibukan bersekolah pagi dan petang, ramai pihak kagum dengan komitmen yang ditunjukkan Haikal sehingga mampu meletakkan dirinya setanding pelajar tahfiz.

“Mungkin Haikal nampak istimewa kerana dia mampu menghafaz al-Quran dari rumah bukan di madrasah. Bukan mudah sebenarnya.

“Anak-anak yang berada di maahad tahfiz sangat beruntung kerana Haikal bergelut dengan sekolah kebangsaan, sekolah agama, kerja sekolah dan peperiksaan.

“Ramai orang tanya bagaimana Haikal ada masa untuk menghafaz sedangkan banyak kerja sekolah, saya kata ada. Masa anak-anak kita bermain, tengok TV itulah masa yang Haikal gunakan. Dia tak tengok TV, tak main permainan di komputer mahupun telefon bimbit,” katanya.

Kredit : GPS Bestari




lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...