loading...

“Enam Ketul Bertih Jagung Tersekat Dalam Paru-Paru Nash.” Padah Beri Anak Kudapan Ini Jika Mereka Di Bawah Usia 5 Tahun

Sudah menjadi kebiasaan kalau menonton filem, kita gemar mengunyah bertih jagung. bahkan ini jugalah kudapan yang akan kita berikan kepada anak-anak supaya mereka leka ketika filem sedang ditayangkan dan tidak merengek itu ini.

Tahukah anda, tabiat itu sebenarnya bahaya apatah lagi jika bertih jagung diberikan kepada anak yang berusia lima tahun ke bawah?

Satu insiden buruk telah berlaku kepada seorang budak lelaki yang diberikan bertih jagung oleh ibunya didapati tercekik makanan ini. Perkara ini dikongsikan sendiri oleh ibunya, Nicole Johnson Goddard melalui statusnya di laman Facebook.

“Saya mahu berkongsi pengalaman yang membuka mata kerana tidak ramai yang tahu bahaya bertih jagung terhadap anak kecil. Kami menonton filem pada Sabtu lepas dan makan bertih jagung seperti yang selalu kami lakukan. Saya tidak berfikir dua kali ketika memberi bertih jagung kepada Nash. Nash ada tercekik sedikit ketika makan tapi dia nampak baik saja. Kami tak nampak apa-apa yang keluar dari mulutnya, jadi kami fikir semuanya elok. Apa yang kami perhatikan, dia sering terbatuk selepas itu.

Esoknya, dia masih elok saja tetapi saya perasan bunyi batuknya agak pelik. Itu yang membimbangkan saya. kemudian Nash nampak seperti kepanasan dan mula meragam. Saya dapati dia demam dan saya berikan dia ubat. Selepas itu, saya tidurkan dia. ketika tidur, saya dapati nafasnya lain macam.

Saya terus hubungi pakar kanak-kanak yang kami biasa dan beritahu padanya yang Nash harus diperiksa segera. Kami bawa Nash ke hospital dan doktor menjalankan ujian X-ray terhadapnya. Dia nampak seperti tidak suka dengan apa yang dia lihat, jadi dia jadualkan untuk buat pembedahan Bronchoscopy. Kami terus diterbangkan ke Denver untuk menjalankan prosedur itu. Saya menangis sepanjang dia dibedah.

Kata doktor, dia tercekik bertih jagung dan ia tersekat di paru-parunya. Hal ini menyebabkan Nash mengalami pneumonia pada paru-paru kiri. Doktor juga memberitahu mereka dapat mengeluarkan enam ketul bertih jagung ketika pembedahan. untuk memastikan mereka berjaya mengeluarkan kesemua bertih jagung itu, doktor terpaksa menjalankan prosedur yang sama selama dua hari.

Apabila para doktor sudah yakin Nash pulih, kami dibenarkan untuk membawanya pulang. Sememangnya pengalaman ini umpama menaiki roller coaster. Nash sememangnya anak yang kuat dan dia pulih dengan cepat.

Kalaulah saya tidak mempercayai naluri keibuan saya, dah tentu penyudahnya lebih teruk. Saya juga diberitahu bahawa bertih jagung tidak sesuai diberikan kepada anak kecil berumur lima tahun ke bawah. Saya benci untuk menggunakan alasan yang dia merupakan anak ketiga kami jadi saya terlepas pandang dan tidak peka dengannya.”

Ada masanya, perkara remeh boleh menjadi pengajaran kepada kita. Setiap hari kita mencuba yang terbaik untuk berikan keselesaan kepada anak-anak. Tidak pernah kita sangka, bertih jagung boleh mendatangkan kemudaratan seperti itu sekali kepada anak kecil. Maka, beringatlah dan pastikan anda pilih snek lain yang lebih sihat ketika menonton filem bersama yang tersayang.

Perkongsian ini diambil dari laman FB: NICOLE JOHNSON GODDARD 

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...