Bayi mempunyai pertahanan imunologi sejak lahir, namun ia belum cukup matang dan akan terus diperkuat sehingga usia empat atau lima tahun. Dengan sistem pertahanan badan yang kuat dapat ‘melawan’ bakteria dan virus yang menjadi penggalak kepada jangkitan penyakit kepada si manja. Ketahui daya tahan penyakit dikalangan bayi. Berikut ada 4 maklumat yang mama dan papa kena tahu.
1.Imunisasi
Dapatkan imunisasi sebaik sahaja bayi dilahirkan. Ia berkesan melindungi badan sebelum diserang penyakit yang boleh membawa maut. Pemvaksinan dilakukan kepada si manja mengikut ‘Jadual Imunisasi Disyorkan untuk Kanak-kanak’ oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Vaksin bertindak dengan merangsang tindak balas imun secara tiruan terhadap antigen tertentu dalam badan anak anda. Seterusnya mengeluarkan antibodi untuk menentang virus bagi melawan jangkitan penyakit.
2.Susu ibu
Ia adalah anugerah semula jadi yang boleh menguatkan sistem imun si manja. Susu pertama bayi iaitu kolostrum, kaya dengan antioksida dalam bentuk vitamin E dan beta karotena yang melindungi bayi daripada serangan kuman. Pemberian susu ibu secara eksklusif sepanjang enam bulan pertama adalah yang terbaik dan seeloknya diteruskan sehingga usia dua tahun. Kebiasaan bayi yang mendapat penyusuan susu ibu dikatakan jarang mengalami demam dan sembuh dengan cepat.
3.Persekitaran selamat dan sihat
Elakkan membawa anak ke kawasan sesak dengan orang ramai dan mereka yang tidak sihat. Bawa mereka ke taman permainan untuk melakukan aktiviti fizikal seperti senaman, berenang, menunggang basikal atau berjoging yang boleh membantu meningkatkan kecekapan fungsi imun. Jangan dedahkan anak kepada asap rokok kerana ia mengandungi toksin yang melemahkan sistem imun dan merosakkan sel-sel imun anak yang masih belum matang.
4.Pemakanan yang seimbang
Apa yang anak makan akan mempengaruhi sistem imunnya. Oleh itu, hidanglah makanan yang berzat kepada anak untuk membesar dengan sistem imun pertahanan badan yang kuat. Hasil kajian menujukan risiko penyakit berjangkit adalah lebih tinggi di kalangan kanak-kanak yang kekurangan zat makanan.