Akhirnya wanita berusia 20 tahun diberkas polis selepas dipercayai membuang bayinya dalam mangkuk tandas di Hospital Selayang, dekat sini, petang semalam.
Wanita berusia 20 tahun itu ditahan selepas ada saksi melihat perbuatannya cuba membuang bayi itu ke dalam mangkuk tandas wanita bahagian Zon Kecemasan hospital berkenaan.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof, berkata saksi iaitu seorang wanita pekerja kilang yang melihat kejadian itu memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan.
“Tindakan segera saksi itu memaklumkan pengawal keselamatan berjaya menyelamatkan nyawa bayi yang mahu dibuang suspek.
“Bayi itu kemudian disahkan oleh doktor berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata wanita terbabit dipercayai baharu melahirkan anaknya semalam namun siasatan lanjut akan dilakukan selepas suspek mendapatkan rawatan lanjut di hospital sama.
“Pada masa ini suspek ditahan di wad Zon Merah hospital sama untuk rawatan dan enggan memberikan kerjasama ketika ditemubual oleh doktor.
“Dia hanya menangis sejak ditempatkan di wad Zon Merah,” katanya.
Samsor berkata, semakan rekod mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian