loading...

Hanya 50 Peratus Peluang Untuk Hidup Ketika Lahir, Kini Khalish Mampu Makan Sendiri Walaupun Menghidap Cerebral Palsy

Ketika penulis mendekatinya untuk ditemuramah, Norlailee Abu Hassan tidak keberatan. Bahkan dia sanggup datang jauh dari Melaka untuk bertemu penulis. Banyak kisah menarik tentang anaknya, Hairul Khalish Hairulaminy yang dia ceritakan pada penulis.

RAHIM TIDAK KUAT

“Khalish dilahirkan secara normal dengan berat 615gm sahaja ketika itu. Usia kandungan saya baharu masuk 26 minggu tetapi saya mengalami kontraksi secara tiba-tiba. Saya terus ke hospital, bukaan dah ada. Lebih kurang 30 minit, saya selamat melahirkan dia. Air ketuban pecah dan menurut doktor rahim saya tidak kuat,” kata Lailee memulakan cerita.

Khalish dimasukkan ke NICU dan diletakkan di dalam inkubator selama lima bulan di Hospital Sg. Buloh, Selangor. Menurut Lailee, doktor memberitahu peluang Khalish untuk hidup hanya 50 peratus sahaja kerana terlalu banyak komplikasi. Bahkan Khalish memegang rekod sebagai bayi terkecil yang hidup sehingga sekarang di hospital itu. Beratnya hanya 8.9kg dan umurnya enam tahun. Kata doktor, masalah Khalsih ini dikenali sebagai failure to thrieve.

BANYAK KOMPLIKASI

Salah satu komplikasi Khalish ketika dilahirkan adalah hydro chephalus iaitu jumlah cecair berlebihan dalam kepala. Ia dikesan sewaktu usianya seminggu. Sepatutnya sejenis salur dimasukkan untuk mengeluarkan cecair tersebut dari otak, telinga dan perutnya. Memandangkan berat Khalish cuma 1.2kg ketika itu, doktor terpaksa menunggu sehingga beratnya mencapai 1.8kg sebelum pembedahan dapat dibuat. Ketika beratnya sudah cukup, doktor lihat cecair itu masih ada tetapi tidak bertambah. Jadi doktor suruh pantau jika ada sebarang masalah. Cukup umurnya lima tahun, doktor kata perkara tersebut tidak perlu dirisaukan lagi.

Sewaktu di hospital, doktor memberitahu Lailee yang Khalish tidak boleh minum susu formula kerana dikhuatiri ususnya pecah. Jadi setiap hari Lailee akan bawa stok susu yang ada. Hanya mampu memberinya susu badan selama tiga bulan, Lailee memberitahu yang dia telah cuba macam-macam cara untuk menambah susu badannya. Keluarga banyak memberi sokongan kepada Lailee, itulah yang menjadi penguat semangatnya.

Khalish juga mempunyai masalah jantung kronik. Dia tidak mampu untuk bernafas sendiri. Doktor terpaksa mencadangkan Khalish untuk memakai alat bantuan pernafasan. Selama lima bulan dia menggunakannya dan ketika keluar hospital, Khalish terpaksa dipakaikan tiub yang disambungkan dari hidung ke perut untuk membantunya menyusu.

“Waktu itu Khalish memang masih kecil. Dia tidak pandai bernafas sendiri. Bila dia minum susu, dia terlupa untuk bernafas. Tahu-tahu wajahnya menjadi kebiruan. Lebih kurang lapan bulan menggunakan tiub, bila doktor yakin dia sudah boleh bernafas sendiri baharulah ia dicabut,” cerita Lailee lagi.

CABARAN KHALISH DAN MAMA

“Bila kita ada anak istimewa ni, tidak dinafikan pasti ada cabarannya. Salah satunya bila tiub tercabut. Situasi itu sangat bahaya kerana Khalish harus dibawa ke hospital terus. Ada masanya saya tak tidur malam kerana khuatir terlepas pandang, manalah tahu tiub tu tercabut pada waktu saya tertidur,” tambah Lailee lagi. Selain itu, Lailee kerap memantau keadaan Khalish kerana anaknya itu tidak boleh bernafas sendiri.

Memandangkan Khalish selalu dibawa naik kereta, jadi tidak sukar membawanya ke hospital untuk berjumpa pakar. Lailee melahirkan rasa syukurnya kerana Khalish jarang meragam ketika dia sedang memandu. Memandangkan Khalish tidak boleh bercakap, komunikasi sukar antara dua beranak ini. “Semakin dia dah besar ni, macam-macam yang dia mahu. Disebabkan dia tak boleh beritahu saya apa dia mahu, kadang-kadang meragam jugalah dia. Saya pula jadi buntu tak tahu apa Khalish nak,” kata Lailee lagi.

Lailee memberitau sedari umur Khalish enam bulan, dia sudah dibawa untuk menjalani terapi. Doktor yang merawatnya tidak memberi harapan yang tinggi. Tetapi mereka juga tidak menyangka Khalish dapat ‘berkembang’ dengan baik. Kanak-kanak yang menghidap cerebral palsy (CP) biasanya tidak boleh mengawal air liur (sering meleleh) dan otot-ototnya keras. Tetapi tidak, Khalish kerana dia sudah mampu mengengsot dan bertatih. Jika diberikan kentang jejari pun, Khalish boleh memegangnya sendiri.

“Saya percaya semua ini berkat terapi yang kami buat seminggu sekali secara konsisten. Terapi seminggu sekali tetapi berbeza-beza setiap kali sesi. Ada terapi fisio, pertuturan dan cara kerja,” tambah Lailee.

MENGAJAR DI SEKOLAH ANAK ISTIMEWA

“Saya mengajar di sekolah anak istimewa untuk tambah ilmu. Bila mengajar di sana, saya dapat perbaiki diri. Sayajuga mengambil kursus terapi untuk anak yang menghidap CP. Lebih kurang dua tahun juga saya kumpul pengalaman mengajar anak istimewa. Sekarang pun saya ada mengajar tusyen khas untuk anak-anak yang lambat pembelajaran,” cerita Lailee lagi.

Selain mengajar, Lailee aktif dalam persatuan untuk ibu bapa yang mempunyai anak istimewa. Menurut Lailee, dia suka bergaul dengan orang-orang yang mempunyai masalah sepertinya bagi berkongsi cerita dan maklumat. “Kalau ada anak istimewa ni, jangan pinggirkan mereka. Kita kena sentiasa berharap dan usaha untuk dapat hasil yang terbaik. Penting untuk kita terima dan redha dengan ketentuan ini.

Saya harapkan Khalish dapat membesar dengan baik dan mampu berdikari. Sekarang saya amalkan gaya hidup sihat supaya saya sentiasa dalam keadaan yang terbaik untuk menjaga Khalish,” kata Lailee mengakhiri ceritanya.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...