loading...

Bayaran 30 Peratus Itu Bukan Sogokan – Pegawai Daerah Muar

KUALA LUMPUR: Dalam perkembangan terbaru mengenai dakwaan sogokan di Muar hari ini, pegawai daerah berkenaan berkata bayaran 30 peratus yang diminta dalam kejadian tersebut bukanlah rasuah tetapi sebaliknya nisbah “margin keuntungan.”

Menurut Pegawai Daerah (DO) Muar, Haffiz Ahmad, bercanggah dengan laporan awal mengenai hal itu, individu yang meminta bayaran berkenaan juga bukan pegawai kepada MP Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Haffiz, individu terbabit merupakan wakil kepada syarikat pembekal bebas yang dilantik pejabat daerah Muar untuk mengendalikan peruntukan pejabat anggota parlimen daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Johor.

Peruntukan itu bagi membekalkan barangan ke sekolah Cina.

Haffiz berkata sekolah berkenaan tersilap apabila mengatakan wakil tersebut dari pejabat MP Muar.

“Kebetulan, perbincangan mereka tidak lancar kerana sekolah berkenaan bertanyakan mengenai barangan dengan nilai yang melebihi peruntukan, manakala syarikat itu enggan melakukan kerja-kerja membekal kerana mereka tidak mendapat untung – maksimum 30 peratus – jika mereka mengikuti permintaan sekolah tersebut,” jelasnya.

Beliau menjelaskan nisbah margin keuntungan terserah kepada pertimbangan syarikat pembekal dan penerima peruntukan, selepas semua barangan dipersetujui selaras dengan prosedur perolehan.

Terdahulu, akhbar berbahasa Cina melaporkan lelaki terbabit mendakwa menjadi pembantu kepada wakil rakyat Muar dan meminta sogokan daripada lembaga pengarah sekolah-sekolah tempatan bagi perolehan (pembelian barangan) yang didanai melalui peruntukan kawasan parlimen.

Menurut akhbar itu, beberapa sekolah rendah dan menengah China yang didatangi oleh lelaki berkenaan diminta menandatangani dokumen yang membolehkannya menerima bayaran 30 peratus.

Difahamkan beberapa wakil sekolah juga telah menandatangani dokumen yang serupa.

Laporan itu juga turut menyertakan perbualan pesanan teks di antara lelaki terbabit dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai bukti.

Bagi kes pada bulan Disember 2018, lelaki terbabit dipetik laporan itu berkata telah meminta 30 peratus sogokan daripada pembelian (perolehan) berjumlah RM20,000 bagi mendapatkan kerusi, meja dan peralatan pelajar baru.

Laporan yang memetik sumber itu mendakwa lelaki berkenaan telah disoal siasat pihak berkuasa.

Sementara itu, pejabat Syed Saddiq telah memfailkan laporan polis mengenai hal ini, menafikan terkait dengan kejadian berkenaan.

Dalam suatu kenyataan berasingan, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata tiada pembantu Adun atau MP yang terlibat dalam meminta komisyen daripada peruntukan terhadap sekolah-sekolah Cina.

Previous
Next Post »
loading...