loading...

Kerajaan Perlu Wujudkan Mahkamah Perlembagaan – Ku Li

IPOH: Kerajaan harus mewujudkan Mahkamah Perlembagaan bagi membicarakan pelbagai isu berkaitan hak dan undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan yang mulai menjadi polemik ketika ini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, mencadangkan kerajaan meminda Perlembagaan agar mahkamah itu dapat ditubuhkan.

“Kewujudan mahkamah ini dapat menyelesaikan masalah yang dibangkitkan banyak pihak terutama sekali (isu) siapa pendatang, siapa tidak pendatang, asal usul orang di sini dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu program bual bicara bertajuk ‘Masa Depan Orang Melayu’ anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang di Royal Perak Golf Club di sini, malam tadi.

Razaleigh berkata, mahkamah yang dicadangkan itu harus diletakkan dalam sistem kehakiman sedia ada cuma ia hanya memberi tumpuan menyelesaikan kes membabitkan isu hak dan undang-undang berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, pada program berkenaan, beliau berkata kelemahan mengingati sejarah dan kekaburan menegakkan fakta sejarah mengakibatkan ramai anak muda tidak tahu perkara dibincang dan dipersetujui ketika rundingan kemerdekaan Tanah Melayu di London pada tahun 1956.

Beliau berkata, rundingan dihadiri wakil British, wakil Raja-Raja Melayu serta pemimpin Cina dan India itu bersetuju orang Melayu automatik adalah warganegara Tanah Melayu yang merdeka manakala penduduk negeri Selat, masyarakat Cina dan India diberi pilihan sama ada menjadi sebahagian negara baharu yang merdeka atau warga British.

Katanya, sebagai tolak ansur menerima orang Cina dan India menjadi warganegara Tanah Melayu merdeka tanpa syarat, diletakkan perkara tambahan iaitu Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Razaleigh berkata, pemimpin Melayu ketika itu juga berfikiran maju ke hadapan apabila bersedia menukar nama Tanah Melayu kepada Malaya apabila mencapai kemerdekaan

Katanya, malangnya sekarang sudah ada pihak yang mempertikai kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan kewujudan Mahkamah Perlembagaan mampu menyelesaikan polemik berkenaan.

Previous
Next Post »
loading...