loading...

Kita Tak Pertikai Siti Kasim Menari – Mufti Perlis

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengecualikan peguam dan aktivis sosial Siti Kasim ketika melontarkan pandangan agar individu yang mempunyai jawatan dalam masyarakat menjaga kesantunan.

Mohd Asri berkata demikian ketika berkongsi pendapatnya berhubung klip video memaparkan beberapa tokoh dan personaliti perundangan dalam sebuah majlis tari-menari.

“Kita tidak mempertikaikan saudari Siti Kasim. Kita percaya tiada siapa yang rasional akan mempertikaikan beliau sekalipun jika keadaan seribu kali lebih daripada ini.

“Harap beliau tidak salah faham dan menganggap hal ini ditujukan kepada beliau,” kata Mohd Asri.

Sebaliknya, jelas Mohd Asri, pandangannya itu ditujukan buat pihak berkedudukan dalam masyarakat yang sepatutnya menjaga status dan nilai positif, tanpa mengira latar politik.

“Setiap orang ada cara kehidupan tersendiri apatah lagi bagi yang mempunyai kepercayaan yang berbeza. Itu adalah pilihan masing-masing.

“Namun, bagi individu-individu yang memegang peranan penting dalam negara dan mempunyai nama dalam masyarakat seeloknya hendaklah mengawal cara dan kesantunan di khalayak awam agar tidak dianggap ‘tidak menjaga ketertiban’ yang sepatutnya.

“Apatah lagi apabila lambang negara dan institusi penting ada di situ. Ini kerana, dalam budaya masyarakat kita di Malaysia, hal seperti ini mengundang persepsi yang salah dan menurunkan nilai penghormatan di mata awam,” katanya.

Terdahulu, sebuah klip video memaparkan beberapa tokoh dan personaliti perundangan menari dalam majlis Legal Year Gala Dinner 2019 yang diadakan semalam di Kota Kinabalu, Sabah.

Selain Siti Kasim, turut menyertai tarian itu ialah Ketua Hakim Negara Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong dan peguam Ambiga Sreenavasan.

Previous
Next Post »
loading...